AM

LEBIH 1,500 TETAMU MERIAHKAN RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA PARLIMEN LEMBAH PANTAI

15/02/2025 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Lebih 1,500 tetamu daripada pelbagai latar belakang dan kaum hadir memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Parlimen Lembah Pantai yang diadakan di Tapak Pasar Malam Telawi di sini malam ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata sambutan itu cukup meriah dengan kehadiran komuniti setempat meskipun dalam keadaan cuaca kurang baik.

“Alhamdulillah hari ini Parlimen Lembah Pantai mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina. Kalau tahun-tahun sebelum ini, kita adakan di Taman Sri Sentosa, kali ini di Bangsar.

“Walaupun cuaca sedikit suram dengan hujan, saya lihat ramai tetap ambil peluang untuk hadir malah ada yang datang dari jauh seperti Sentosa untuk turut meraikan sambutan di sini,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Beliau berkata wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan, persatuan penduduk dan pihak Polis Diraja Malaysia antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis itu.

“Kita memang utamakan hubungan yang akrab antara pelbagai agensi, persatuan dan dalam keakraban itulah kita dapat melihat pembangunan yang lebih baik serta mampan. 

“Harapan saya, acara seperti ini dapat mengeratkan hubungan, mengurangkan perselisihan, meningkatkan persefahaman dan memberi peluang kepada kita untuk meraikan saat-saat gembira seperti Tahun Baharu Cina bersama,” katanya.

Terdahulu, Fahmi turut meluangkan masa menggaul yee sang dan beramah mesra bersama tetamu.

Majlis turut dimeriahkan dengan pertunjukan tarian singa dan persembahan oleh Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan