AM

PROJEK CENDAWAN PINTAR IMISTROOM 2.0 UITM BANTU PERKASA EKONOMI ASNAF MUALAF

16/02/2025 05:22 PM

BUKIT MERTAJAM, 16 Feb (Bernama) -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjalankan projek komuniti menerusi tanaman cendawan tiram bagi membantu golongan asnaf mualaf menambah pendapatan, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal UiTM Pulau Pinang Prof Madya Dr Hamid Yusoff berkata projek itu dijalankan menerusi kaedah moden menggunakan sistem iMistroom 2.0 atau rumah cendawan pintar modular hasil inovasi beliau bersama pasukannya dengan kerjasama empat pihak berkepentingan lain.

Beliau berkata projek yang dibiayai Bank Rakyat dengan sumbangan RM364,800 itu dimulakan sejak September lepas, dan 20 asnaf mualaf terpilih bagi mengusahakan tanaman cendawan tiram yang ditempatkan di Surau al-Huda di Taman Markisah, Permatang Tinggi di sini.

“iMistroom mengguna pakai konsep 2T (Tinggal dan Tuai) dan 3M (Mesra, Mudah dan Modular). Para peserta yang terlibat ini dalam kalangan B40 komuniti asnaf. Jadi dengan konsep ini kita bantu mereka menyediakan teknologi mesra komuniti yang lebih mudah untuk diuruskan.

“Projek kerjasama ini bermula pada September 2024 sehingga bulan ini, namun bantuan akan diteruskan bagi membantu asnaf ini supaya mereka boleh mengembangkan lagi hasil dan memulakan tanaman ini di tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Asnaf Saudara Baharu melalui aktiviti penanaman berkenaan di Surau Al Huda, Taman Markisah di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM Prof Dr Jamalunlaili Abdullah, yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Pulau Pinang Ben Ooi Chooi Beng.

Dr. Hamid berkata projek itu melibatkan gabungan kerjasama antara UiTM Pulau Pinang dengan UiTM Kedah dengan kampus Pulau Pinang menyumbang dari segi kepakaran teknologi, latihan, bimbingan serta pemantauan, manakala Fakulti Perniagaan UiTM Kedah membantu dari segi pemasaran dan kajian hasil.

Beliau berkata tanaman itu dijalankan secara berfasa, dan setakat ini 20,000 bongkah ditempatkan dalam 20 unit rumah cendawan pintar dengan 10 unit berada di surau berkenaan manakala 10 unit lagi dikendalikan sebuah syarikat di Pokok Sena, Kepala Batas.

“Setiap bongkah berupaya menghasilkan sehingga empat ke lima kali pusingan pengeluaran dalam tempoh tiga bulan, dan setakat ini projek ini berupaya menjana hasil jualan kira-kira RM20,000. Jualan juga tidak hanya tertumpu kepada cendawan segar tetapi turut dikembangkan kepada produk hiliran seperti cendawan goreng yang telah dijual di beberapa lokasi,” katanya.

Sementara itu, Ooi berkata projek berkenaan sangat bermanfaat terutama dalam membantu golongan asnaf mualaf kurang berkemampuan untuk menambah pendapatan supaya tidak sekadar bergantung bantuan bulanan yang diterima.

“Dari segi hasil dan jualan memang ada nampak peningkatan, sekali gus memberikan tambahan pendapatan sekurang-kurangnya RM200 daripada pendapatan sedia ada untuk seorang peserta.

“Kita nampak projek ini memang ada ruang dan peluang untuk mereka menaikkan taraf hidup dan ada tiga peserta mengusahakan cendawan goreng dan buka kiosk. Itu boleh jana lebih banyak pendapatan tambahan untuk mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Jamalunlaili berkata penggunaan inovasi hasil kepakaran penyelidik UiTM itu adalah satu contoh sinergi antara universiti, komuniti dan institusi perbankan bagi meningkatkan pendapatan komuniti setempat serta berkongsi teknologi semasa. 

Beliau berkata projek berkenaan juga dapat membantu komuniti setempat dalam menghasilkan sumber makanan yang berterusan dan memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 2 (Kelaparan Sifar).

“Rumah cendawan moden yang dihasilkan bukan hanya sebagai sarana penghasilan tambahan bagi komuniti tetapi juga langkah konkrit dalam memenuhi tujuan pembangunan mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan