AM

PENDUDUK MEROTAI TIDAK AKAN KETINGGALAN, BAKAL NIKMATI PELBAGAI PEMBANGUNAN - HAJIJI

16/02/2025 06:34 PM

KALABAKAN, 16 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri hari ini berusaha memastikan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai di sini tidak ketinggalan termasuk aspek pembangunan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata satu pekan baharu Merotai di Kijang Point akan dibuka dengan menempatkan 100 unit rumah dua tingkat dan 16 unit kedai yang sudah siap dibina.

"Sebuah dewan bernilai RM2 juta juga akan dibina di Merotai, di samping pemasangan lampu solar jalan raya utama dari Jambatan Putih hingga ke Sungai Udin dengan peruntukan RM1.9 juta dilaksanakan pada tahun ini.

"Selain itu, kita juga meluluskan permohonan Tanah Perkampungan Iban di Merotai Besar serta Kampung Melati Burut untuk diwartakan sebagai rizab perkampungan," katanya dalam kenyataan selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Anak Merotai anjuran Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden PHRS Tan Sri Liew Yun Fah.

Hajiji berkata pembangunan di setiap DUN itu lebih lancar apabila kawasan berkenaan diwakili oleh wakil rakyat daripada parti pimpinan kerajaan Sabah pada hari ini.

“Percayalah dalam PRN akan datang, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membentuk kerajaan sekali lagi, jadi saya tidak mahu Merotai ketinggalan kali ini, Merotai mesti diwakili wakil kerajaan, kita mesti menang di sini, majukan Merotai. Kita bukan bercakap kosong, kita ada hala tuju,” katanya.

Hajiji, yang juga Pengerusi GRS berkata kerajaan negeri kini pimpinan GRS dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai hala tuju jelas dan agenda besar bagi membangunkan Sabah termasuk di Tawau serta Kalabakan dengan banyak bukti kejayaan diperoleh sepanjang empat tahun pemerintahan.

Beliau berkata GRS menyasarkan menawan semua kerusi DUN dalam Parlimen Tawau serta Kalabakan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 nanti.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan