AM

SITI FADILAH DILANTIK CEO ISLAMIC RELIEF MALAYSIA BAHARU

17/02/2025 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini mengumumkan pelantikan Siti Fadilah Mohd Hood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif IRM yang baharu, berkuat kuasa 1 Feb lepas.

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah IRM Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pelantikan Siti Fadillah itu bagi menggantikan Mohd Shukor Tahir yang telah menamatkan perkhidmatan pada 31 Jan.

Beliau berkata Siti Fadilah sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IRM yang bertanggungjawab merancang, melaksana dan memantau operasi organisasi.

“Dengan pengalaman luas dalam bidang kemanusiaan dan kebajikan selama 18 tahun bersama IRM, Siti Fadilah telah menunjukkan kepimpinan dalam aspek penjanaan dana, pemasaran, komunikasi, dan pembangunan program.

“Berkelulusan Ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Biokimia-Bioteknologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beliau telah membuktikan kewibawaannya dalam memacu inisiatif kemanusiaan berimpak tinggi menerusi rekod prestasi yang cemerlang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Syed Saleh berkata sepanjang berkhidmat di IRM, Siti Fadilah bersama pasukannya berjaya menjalankan beberapa kempen utama merangkumi program bermusim, kecemasan mahupun pembangunan mampan di dalam dan luar negara.

Antara kempen yang berjaya dilaksanakan adalah Rezeki Ramadan, ‘Palestine Appeal’, ‘Save Syria, MyYateem’, Dana Wakaf Sistem Air, Kecemasan Lokal dan MySedekah, selain mewakili organisasi dalam kumpulan kerja global serta misi kemanusiaan di negara seperti Somalia, Malawi, Bosnia and Herzegovina, Kosova, Turkiye, Jordan dan Bangladesh.

“Kepakaran dan komitmen beliau terhadap misi Islamic Relief diyakini dapat memacu usaha organisasi di dalam menyediakan bantuan kemanusiaan yang berkualiti dan mampan.

“Barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, pengurusan tertinggi, dan seluruh warga kerja IRM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini,” katanya, sambil menzahirkan keyakinan bahawa Siti Fadilah akan terus memperkasakan organisasi dalam mencapai visi dan misi kemanusiaan yang diamanahkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan