KLANG, 17 Feb (Bernama) -- Kabinet telah meluluskan cadangan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk mengubah skop pembinaan daripada landasan tunggal dwitolok kepada landasan berkembar.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata cadangan berkenaan akan melibatkan jajaran Seksyen D iaitu dari Stesen Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Utara (Northport) dan Pelabuhan Barat (Westports) sepanjang 25 kilometer.
Loke berkata kos pembinaan landasan berkembar itu tidak memerlukan peruntukan tambahan oleh kerajaan serta tidak akan meningkatkan kos pembangunan keseluruhan Projek ECRL.
“Kabinet bersetuju untuk membina landasan berkembar, merangkumi landasan tolok standard baharu bagi perkhidmatan ECRL serta mengekalkan landasan tolok meter sedia ada bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Ia adalah untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel kargo serta kecekapan pengangkutan rel ke Northport dan Westports,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Lembaga Pelabuhan Klang dan Peluncuran Malaysia Maritime Single Window (MMSW) di KSL Convention Centre di sini hari ini.
Loke berkata perubahan skop kepada landasan berkembar ini dijangka memberikan impak besar dengan membolehkan perkhidmatan KTMB dan ECRL beroperasi secara bebas tanpa bergantung antara satu sama lain.
“Ini akan meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel kargo ke Northport dan Westports secara keseluruhan serta memperkukuhkan kecekapan industri perdagangan import eksport negara apabila projek ini siap sepenuhnya,” katanya.
Loke berkata untuk pembinaan landasan itu, MRL selaku pemilik projek ECRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sebagai kontraktor utama, akan mengeluarkan maklumat tender secara terperinci pada penghujung bulan ini dengan keutamaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera berkelayakan serta berpengalaman dalam industri rel.
Dalam pada itu, Loke berkata anggaran kos pembinaan Projek ECRL setelah ditambah skop baharu di Seksyen D adalah lebih rendah berbanding kos pembinaan projek berkenaan dimeterai pada tahun 2017 yang berakhir di Stesen Jalan Kastam tanpa penyambungan ke Northport dan Westports.
Tambah beliau, jajaran Seksyen D memainkan peranan strategik bagi melengkapkan jambatan darat menghubungkan pelabuhan-pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung dengan pelabuhan di Pantai Barat melalui ECRL, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kereta api untuk pengangkutan kargo bagi kedua-dua perkhidmatan ECRL serta KTMB.
“Di samping itu, ia dapat memastikan kesalinghubungan yang lancar antara yad di Pelabuhan Kuantan dengan yad-yad di Northport dan Westports masing-masing di Pelabuhan Klang melalui ECRL, serta meningkatkan kecekapan operasi KTMB melalui penggunaan Pintasan Serendah untuk sampai ke yad-yad di Pelabuhan Klang,” katanya.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung.
Jajaran dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijadualkan siap pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.
Manakala, sambungan jajaran rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.
-- BERNAMA