EKONOMI

BNM, BI, BOT SELARASKAN DAN PERLUAS RANGKA KERJA TRANSAKSI MATA WANG TEMPATAN

17/02/2025 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Indonesia (BI) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini mengumumkan penerapan Garis Panduan Operasi Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan (LCTF OG) yang terselaras serta perluasan transaksi rentas sempadan yang layak di bawah rangka kerja itu.

Dalam satu kenyataan bersama, bank pusat itu berkata garis panduan berkenaan akan meningkatkan konsistensi, skala dan kecekapan bagi menyokong transaksi mata wang tempatan antara ketiga-tiga negara.

“Penyelarasan ini menyepadukan garis panduan dua hala yang telah ditetapkan antara negara berkenaan, dan membolehkan proses transaksi rentas sempadan yang lebih teratur dan telus bagi institusi kewangan yang mengambil bahagian serta pelanggan mereka.

“Garis panduan terselaras ini menetapkan parameter operasi yang setaraf untuk semua negara peserta di samping mengambil kira keperluan dasar khusus setiap negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, selain perdagangan dan pelaburan langsung, rangka kerja berkenaan turut merangkumi pelaburan portfolio sebagai transaksi asas yang layak.

“Para pelabur kini mempunyai pilihan yang lebih luas untuk menjalankan transaksi dalam mata wang tempatan di samping mengurangkan risiko pertukaran asing,” katanya.

Berikutan dengan perkembangan berkenaan, BNM, BI dan BOT mengalu-alukan tambahan bank-bank perdagangan yang layak untuk menyertai dan menyokong LCTF yang diperluas itu.

Bank-bank itu katanya akan memainkan peranan penting dalam memudahkan transaksi mata wang tempatan menerusi kepakaran, kekukuhan operasi dan rangkaian rentas sempadan mereka.

“Malaysia, Indonesia dan Thailand telah menyaksikan peningkatan berterusan dalam transaksi mata wang tempatan untuk penyelesaian perdagangan dua hala sejak pelaksanaan LCTF.

“Rangka kerja dan operasi yang diselaraskan ini akan memberikan pilihan yang lebih luas kepada perniagaan untuk menjalankan transaksi rentas sempadan. Ia juga mencerminkan komitmen ketiga-tiga negara dalam usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan serantau,’’ katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan