JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SERBU DUA KILANG, RAMPAS ARAK TIRUAN, PELBAGAI PERALATAN BERNILAI KIRA-KIRA RM329,990

17/02/2025 07:06 PM

ISKANDAR PUTERI, 17 Feb (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses arak tiruan selepas menyerbu dua kilang di kawasan Taman Industri Jaya dan Taman Industri JB Perdana di sini, dan merampas arak tiruan serta pelbagai peralatan memprosesnya bernilai kira-kira RM329,990. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata sembilan pekerja lelaki warga Myanmar turut ditahan dalam serbuan oleh pasukan dari Balai Polis Nusa Bestari dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 7 dan 9 Feb itu.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan lepas dan menjadikan dua kilang berkenaan sebagai lokasi memproses arak tiruan dengan menyasarkan pembeli dalam kalangan warga asing.

"Bagaimanapun siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang sindiket. Arak tiruan yang dirampas akan dihantar ke makmal bagi mengenal pasti kandungannya," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Kumarasan berkata dalam serbuan pertama di Kawasan Taman Industri Jaya, Skudai polis antara lain merampas 122 kotak dan 45 botol arak pelbagai jenama, sembilan tong berisi cecair dipercayai alkohol dan sembilan mesin memproses alkohol, yang jumlah keseluruhan dianggar bernilai RM317,640.

Bliau berkata dalam serbuan kedua pula polis merampas pelbagai barangan yang berkaitan, antaranya 438 kotak botol kosong arak, lima tong berisi alkohol, 37 kotak penutup botol, 47 set kotak kosong arak pelbagai jenama, tujuh pelekat logo dan empat mesin pelekat logo, semuanya dianggarkan bernilai RM12,350.

Kumarasan berkata empat lelaki berusia 21 hingga 43 tahun ditahan dalam serbuan pertama manakala lima lagi berumur 22 hingga 39 tahun ditahan dalam serbuan di Taman Industri JB Perdana. 

Semua warga Myanmar itu kini direman 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 116C dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen.

Sementara itu dalam kes berasingan, Kumarasan berkata pada 12 Feb lepas Pasukan Gerakan Am Batalion 5 Simpang Renggam berjaya merampas 530 kotak arak pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM79,500 di sebuah kawasan di Nusa Bestari, sebuah lori Isuzu dan tiga kereta Toyota Estima.

Beliau berkata tujuh lelaki berusia 26 hingga 46 tahun ditahan bagi membantu siasatan dengan empat daripadanya mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Semua mereka direman 12 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan