Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) Pertubuhan Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) ke-54 pada Isnin menyaksikan perbincangan mengenai usaha memerangi maklumat salah dan maklumat palsu dalam sesi panel kedua.
Editor Meja Media Digital Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sakina Mohamed mengetengahkan inisiatif literasi digital agensi itu melalui platform semakan fakta, MyCheck Malaysia.
Ditubuhkan pada 2020 ketika penularan virus COVID-19 dan pelbagai maklumat salah, MyCheck Malaysia bukan sekadar badan semakan fakta yang menyangkal berita palsu.
“Matlamatnya bukan untuk melakukan semakan fakta bagi agensi kami (Bernama) atau masyarakat umum, tetapi untuk mendidik rakyat Malaysia cara melakukan semakan fakta itu sendiri dan akhirnya membudayakan amalan itu,” katanya yang juga Editor MyCheck Malaysia.
Beliau berkata setiap laporan MyCheck Malaysia mendidik masyarakat kaedah dan aplikasi yang boleh digunakan untuk semakan fakta, contohnya cara menggunakan enjin atau aplikasi carian imej berbalik yang sedia ada dalam peranti mereka.
Ini selain mengajar teknik mengenalpasti visual janaan kecerdasan buatan (AI) agar orang ramai tidak mudah diperdaya, katanya.
Slogan, "Jangan sebar melulu, MyCheck dulu", mengukuhkan misinya.
Sakina menegaskan bahawa MyCheck Malaysia beroperasi secara mengikut garis panduan Rangkaian Semakan Fakta Antarabangsa (IFCN) tanpa pengaruh luar.
“Mungkin ada pihak yang mempersoalkan keneutralan operasi kami, tapi buktinya dalam isi pelaporan kami,” kata Sakina.
Platform itu menumpukan kepada isu yang boleh membahayakan awam termasuk berkaitan kesihatan, ekonomi dan ketenteraman dalam negara. Namun, ia tidak termasuk dakwaan berunsur politik.
Dalam sesi itu, Sakina turut memperkenalkan konsep “prebunking”, iaitu teknik untuk membantu orang ramai mengenal pasti taktik penyebaran maklumat palsu sebelum mereka terdedah kepadanya.
“Anggap ia seperti vaksin. Dengan mendedahkan orang ramai kepada taktik maklumat salah lebih awal, kita dapat membina daya tahan mereka terhadap manipulasi,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Pengurusan Jenama Anadolu Ajansi (AA) Turkiye, Hazal Duran yang juga ahli panel sesi itu menggariskan kemerosotan kepercayaan global terhadap media yang jatuh kepada 42 peratus pada 2024.
“Antara faktor utama yang kita lihat ialah penyebaran kandungan yang memanipulasi imej atau video, sekali gus mencipta naratif palsu. Ini adalah cabaran harian yang kami hadapi,” katanya.
Duran berkata gempa bumi di Turkiye pada 2023 adalah contoh kesan buruk maklumat palsu, apabila ia tersebar luas di media sosial dalam tempoh kritikal krisis itu.
“Pada peringkat awal bencana ini, terdapat banyak maklumat palsu yang beredar di media sosial,” katanya.
Peristiwa itu menggariskan kepentingan platform semakan fakta dalam menangani penyebaran maklumat palsu, katanya.
Dalam konteks itu, perkhidmatan semakan fakta Anadolu Ajansi memainkan peranan penting dalam mengesahkan maklumat dan menentang sebarang maklumat salah dan palsu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Agensi Berita Rusia (TASS), Yaroslav Kurilo berkongsi usaha agensinya dalam mengekalkan kredibiliti maklumat.
“TASS komited dalam menyediakan maklumat yang saksama, objektif dan tepat mengenai Rusia serta perkembangan global,” katanya, menekankan komitmen TASS terhadap semakan fakta, disokong oleh lembaga editorial khusus yang ditubuhkan lima tahun lalu.
Kurilo turut memetik tinjauan terbaharu yang mendapati lebih 60 peratus rakyat Rusia pernah terdedah kepada berita palsu tahun lalu, dengan 64 peratus daripada mereka pada awalnya mempercayai maklumat berkenaan.
Untuk menangkis naratif palsu, TASS melaksanakan proses pengesahan yang ketat dengan menghubungi sumber rasmi seperti agensi kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan sosial bagi memastikan ketepatan maklumat sebelum diterbitkan.
“TASS memantau sumber luar 24/7 dan mematuhi garis panduan ketat dalam mengesahkan kandungan video serta maklumat penting lain,” katanya.
Sesi itu turut menampilkan ahli panel lain termasuk Pengarah Perhubungan Luar dan Kerjasama Agensi Berita Mongolia (Montsame) Khulan Banzragch, serta Pengurus Jabatan IT Agensi Berita Mehr Iran, Mahmoud Farahani.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj serta Editor Eksekutif yang menanggungjawab tugas Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Mohd Shukri Ishak.
Majlis itu turut disertai Setiausaha Agung OANA Zaman Rezakhani, yang juga Pengarah Hubungan Antarabangsa Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), bersama wakil dari 13 agensi berita antarabangsa.
-- BERNAMA