PARIT, 18 Feb (Bernama) -- Seorang remaja lelaki masih trauma selepas melihat dua rakan karibnya tenggelam di depan mata sebelum hilang daripada pandangan dalam kejadian dua remaja dikhuatiri lemas di Sungai Perak berdekatan Kampung Tepus di sini semalam.
Mohd Irfan Solihin Mohd Rizal, 14, berkata walaupun kejadian itu berlaku begitu pantas, dia sempat melihat Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain, 16, dan Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham, 16, menjerit meminta pertolongan sebelum tenggelam sekitar pukul 4 petang semalam.
“Saya masih terbayang-bayang reaksi Aiman yang menjerit meminta tolong, begitu juga Nazrin yang cuba membantu Aiman pada waktu itu namun tak berjaya (selamatkan).
“Sejak semalam saya tak boleh tidur dengan lena. Bayangan itu datang berulang-ulang kali dalam fikiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Mohd Irfan ketika ditanya mengenai kejadian itu berkata mereka bertiga bersama dua lagi rakannya sedang bermain bola di kawasan beting pasir sungai berkenaan selepas tamat sesi persekolahan.
Bagaimanapun semasa bermain, secara tidak sengaja bola itu tersepak jauh dan jatuh ke dalam sungai, dan Muhammad Naufal mahu mengambilnya.
“Kami dah larang dia supaya tidak ambil bola itu, tetapi dia mahu pergi juga. Selepas lihat Aiman terjatuh, Nazrin turun ke dalam sungai dan cuba hulur buluh padanya, tetapi dia tak dapat capai.
“Saya bingkas berlari meminta bantuan daripada penduduk kampung untuk usaha menyelamatkan kedua-dua rakan saya itu,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Nazrin, Norhidayah Mohd Shabidin, 42, berkata dia reda dengan kejadian yang berlaku, namun berharap jasad anak ketiga daripada enam beradik itu ditemui secepat mungkin.
“Saya reda jika dia telah ‘pergi’ tetapi biarlah jasadnya ditemui dan dapat saya tatap wajahnya,” katanya.
Norhidayah berkata dia hanya dimaklumkan tentang kejadian itu melalui rakan arwah anaknya yang turut berada di tempat kejadian.
“Mendengar sahaja tentang berita (lemas) itu, saya terus berlari ke tempat kejadian untuk mengetahui tentang keadaan anak saya.
“Saya memang tak sangka dan terkejut kerana dia tak pernah maklum kawasan itu menjadikan tempat permainan mereka,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Naufal Aiman, Norhayati Ramlly, 46, berkata kehilangan anak ketiga daripada lima beradik itu amat dirasai kerana dia rajin membantunya berniaga di pasar pagi di pekan Parit.
Norhayati berkata anaknya itu pernah memberitahu mereka sering bermain di kawasan berkenaan bersama Muhammad Nazrin dan rakan lain.
“Cuma semalam, dia keluar tanpa beritahu arah tujuannya nak ke mana. Saya juga tak sempat bertegur sapa dan akhirnya saya terima berita sedih ini,” katanya.
-- BERNAMA