EKONOMI

FORUM PERNIAGAAN DAN EKSPO MUTIARA AFRIKA 2025 SASAR POTENSI DAGANGAN, PELABURAN AS$5 BILION

18/02/2025 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Forum Perniagaan dan Ekspo Mutiara Afrika 2025 meramalkan potensi perdagangan dan pelaburan sebanyak US$5 bilion (US$1=RM4.425) termasuk dalam penerokaan minyak dan gas.

Pesuruhjaya Tinggi Uganda ke Malaysia, Dr. Betty Oyella Bigombe berkata forum perniagaan dan ekspo itu akan diadakan buat pertama kalinya di sini pada 23 hingga 24 April 2025.

Beliau berkata program ini bermatlamat meningkatkan perdagangan dua hala di antara Uganda dengan Malaysia selain pertumbuhannya dijangka pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Bigombe Uganda melihat Malaysia sebagai rakan dagang utama dalam pelbagai sektor terutamanya dalam pertanian, pelancongan, mineral serta minyak dan gas.

"Uganda memiliki kekayaan sumber asli, tenaga kerja yang dinamik dan lokasi geografi yang strategik di dalam Afrika Timur sekali gus menjadikannya destinasi pelaburan yang ideal.

"Banyak yang boleh kami pelajari dari Malaysia. Kami melihat Malaysia sebagai rakan utama di negara ini dan objektif kami dalam menganjurkan ekspo ini bagi mempromosikan Uganda sebagai destinasi pelaburan baharu di Afrika," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Forum Perniagaan dan Ekspo Mutiara Afrika 2025 akan dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Uganda ke Malaysia dan World-One Business Federation.

Bigombe berkata pertanian tetap menjadi tulang belakang ekonomi Uganda dengan menyumbang 53 peratus daripada pendapatan eksportnya selain menggaji lebih daripada 73 peratus penduduknya.

"Uganda diiktiraf di peringkat global kerana mempunyai kopi yang berkualiti tinggi. Kami mencari pelabur dalam penambahan nilai, pemprosesan tani dan pengeluaran baja organik untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing," katanya.

Selain itu, Bigombe berkata Uganda juga kaya dengan sumber mineral iaitu emas, tembaga dan litium selain kerajaan sedang mencari kerjasama dalam penerokaan mineral, pengeluaran serta penambahan nilai untuk memacu perindustrian selain perubahan ekonomi.

"Kami juga mempunyai sains dan teknologi. Sektor teknologi maklumat dan komunikasi Uganda sedang berkembang pesat dengan peningkatan digitalisasi serta transaksi perniagaan elektronik.

"Kami mengalu-alukan kerjasama dalam pembangunan infrastruktur, industri perisian dan perkakasan," katanya.

Bigombe berkata Uganda mempunyai zon ekonomi dan pelaburan khas untuk taman perindustrian (Taman Industri Namanve, Mbale dan Kapeeka); zon perdagangan bebas (Jinja dan Entebbe) serta hab minyak dan gas (pembangunan di Albertine Graben untuk penapisan dan logistik).

Menurut Bank Uganda, eksport ke Malaysia pada 2024 dicatatkan sebanyak US$108.29 juta manakala import dari Malaysia pada tahun lepas berjumlah US$250.13 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan