KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Berhad) anak syarikat kerajaan negeri Terengganu meraih pendapatan berjumlah RM403.8 juta bagi tahun kewangan 2024, yang merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Muhtar Suhaili berkata pencapaian itu merupakan peningkatan sebanyak RM59.8 juta daripada RM344.0 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
"Keputusan yang tertakluk kepada audit itu menunjukkan catatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM95.8 juta serta keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM44.0 juta.
“Keuntungan selepas cukai (PAT) pula melonjak kepada RM28.4 juta, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding RM8.9 juta yang dicatatkan pada tahun lalu dan jauh melebihi sasaran RM14.5 juta manakala Nilai Aset Bersih (NAV) syarikat turut meningkat kepada RM700.2 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara EPIC Berhad dan rakan perniagaan strategiknya, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Terengganu Nurkhuzaini Ab Rahman mewakili Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengenai majlis permeteraian tersebut, Muhtar berkata EPIC Berhad menandatangani beberapa MoU serta perjanjian kerjasama dengan tujuh rakan perniagaan strateginya sebagai usaha untuk merancakkan pembangunan sosioekonomi dan industri di Terengganu.
Selain itu, katanya, ia juga bertujuan untuk memacu pertumbuhan masa hadapan syarikat di samping mengekalkan momentum positif yang dicapai pada 2024 bagi memacu inovasi dan meningkatkan keupayaan operasi.
Menurutnya, kerjasama itu meliputi pelbagai inisiatif strategik termasuk projek pembesaran pelabuhan, pembangunan infrastruktur gas asli cecair (LNG), pengurusan medan luar pesisir, perkhidmatan penyelenggaraan, penyelesaian penyahoperasian dan pembangunan bakat.
Antara dokumen yang dimeterai dalam majlis berkenaan membabitkan EPIC Berhad dan E&H Energy Sdn Bhd bagi pajakan tanah untuk pembangunan Terminal LNG Pelabuhan Kemaman.
Selain itu, anak syarikat EPIC Berhad, EPIC OG Sdn Bhd dan Begas Energy Sdn Bhd pula menandatangani perjanjian kerjasama bagi perkhidmatan pemulihan terminal, penyelenggaraan dan pengubahsuaian di Sabah.
Sementara itu, Nurkhuzaini berkata jalinan kerjasama EPIC Berhad dengan rakan perniagaan strategiknya akan menyumbang kepada usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh daya saing dan ekonomi tempatan serta kedudukan syarikat tersebut sebagai salah satu peneraju industri di Terengganu.
“Kerjasama ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada EPIC Berhad untuk terus meningkatkan keupayaan syarikat, menyediakan perkhidmatan yang kompetitif dan memberi manfaat yang besar kepada rakyat serta ekonomi Terengganu,” katanya.
EPIC Berhad yang ditubuhkan pada 17 Jan, 1981, merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu di bawah Kumpulan Terengganu Inc yang beroperasi sebagai penyedia perkhidmatan minyak dan gas berintegrasi untuk rantaian nilai huluan dan hiliran.
Perniagaan terasnya adalah menyediakan perkhidmatan pangkalan bagi industri minyak dan gas luar pesisir, selain pengurusan pelabuhan, kejuruteraan dan perkhidmatan marin serta perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan.
-- BERNAMA