PEKAN, 18 Feb (Bernama) -- Pahang masih mengekalkan kadar bayaran zakat fitrah RM7 bagi tahun ini bersamaan 1446 Hijrah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain.
Beliau berkata kadar berkenaan mendapat perkenaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan kadar minimum yang ditetapkan itu.
“Kadar minimum yang perlu dibayar setiap rakyat yang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah ialah RM7 yang menggunakan beras putih tempatan.
“Bagi yang menggunakan beras pulut atau seumpama dan setara kadar bayaran RM14, manakala yang menggunakan beras basmati atau seumpama dan setara dengan kadar RM21," katanya ketika mengumumkan kadar zakat fitrah Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata penetapan tiga kadar bayaran berbeza itu dilaksanakan untuk tahun ketiga berturut-turut, yang mula diperkenalkan pada 2023.
Ahmad Hairi berkata kadar bayaran RM7 yang ditetapkan telah menjangkau masa lama tanpa perubahan iaitu sekitar 20 tahun tidak dinaikkan.
Dalam pada itu, sebanyak 917 Amil Zakat Fitrah telah ditauliahkan untuk melancarkan urusan kutipan zakat fitrah berkenaan.
Beliau turut menegaskan sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik MUIP boleh didakwa mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain daripada amil, beliau berkata zakat fitrah juga boleh dibayar secara dalam talian melalui capaian ezakat.muip.gov.my serta melalui QR Code Bank Muamalat yang disediakan.
Sementara itu, MUIP turut mengagihkan bantuan lebih RM21.6 juta kepada 35,400 penerima sepanjang bulan Ramadan ini.
Jumlah itu, antaranya agihan bantuan menyambut Ramadan kepada asnaf fakir dan miskin berjumlah RM5.6 juta kepada 12,688 ketua isi rumah (KIR), selain sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan kepada 689 masjid dan surau melibatkan peruntukan RM4.2 juta.
-- BERNAMA