SHAH ALAM, 19 Feb (Bernama) -- Selangor akan memanfaatkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bagi merangsang kemasukan pelaburan antarabangsa khususnya dari rantau ini menerusi tiga program utama negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata tiga program iaitu kempen Tahun Melawat Selangor 2025, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dan Pameran Penerbangan Selangor (SAS) dijangka mendapat suntikan perdagangan daripada rantau ASEAN.
“Menerusi program berkenaan, kita (Selangor) ingin dorong penciptaan nilai dan perdagangan antara negara ASEAN supaya ia dapat diperkemas dan diperhebat lagi.
“Ia juga peluang untuk merapatkan jurang antara negara terbabit kerana satu daripada perkara yang kita dapat kesan adalah kekurangan perdagangan antara negara ASEAN,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang ingin tahu manfaat ekonomi daripada peranan Malaysia khususnya Selangor sempena Kepengerusian ASEAN 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk memasukkan SIBS 2025 sebagai sebahagian daripada atur cara yang terkandung dalam program sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
SIBS 2025, katanya dijadual diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Oktober depan.
“Sebagaimana slogan kita sebelum ini, SIBS as gateway to ASEAN dan kali ini menjadi satu daripada pintu untuk mempromosikan perniagaan dan perindustrian (khususnya) taman industri di Selangor,” katanya.
-- BERNAMA