AM

MURID TAHUN EMPAT KRITIKAL TERCEKIK GULA-GULA GUMMY

19/02/2025 06:52 PM

GEORGE TOWN, 19 Feb (Bernama) -- Seorang murid lelaki tahun empat sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini dalam keadaan kritikal selepas didakwa tercekik gula-gula jenis "gummy" yang dibeli di luar kawasan sekolah semalam.

Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth dipercayai membeli dua biji gula-gula itu sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.

Ibu saudara kanak-kanak itu Siti Farhani Muhammad Fikri, 33, berkata Mohammad Fahmi dikatakan tercekik dan mengalami kesukaran bernafas, namun sempat menuju ke arah guru sebelum rebah.

Beliau berkata seorang ustazah di sekolah itu cuba membantu dengan memberi rawatan awal termasuk menepuk belakang anak saudaranya dan menghubungi ambulans, selain pasukan perubatan juga memberi bantuan penafasan (CPR).

"Kami dimaklumkan gula-gula itu tersangkut di tekak Mohammad Fahmi. Keadaannya kritikal dan wajahnya sudah bertukar kebiruan akibat kekurangan oksigen.

''Dia kini menerima rawatan di PICU. Setakat ini keadaannya dilaporkan sangat kritikal dan doktor sedang memantau perkembangan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Siti Farhani berkata doktor memaklumkan otak Mohammad Fahmi mengalami kesan akibat kekurangan oksigen yang berpanjangan dan dimaklumkan doktor akan memantau keadaan anak sulung daripada dua beradik itu sehingga Jumaat, sebelum membuat keputusan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan