WASHINGTON, 19 Feb (Bernama-Xinhua) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Selasa bahawa usahawan bilionair Elon Musk tidak akan terlibat dalam sebarang keputusan berkaitan angkasa lepas, lapor Xinhua.
Trump membuat kenyataan itu di resort Mar-a-Lago di Florida sebagai respons kepada soalan mengenai kemungkinan konflik kepentingan melibatkan Musk dalam usahanya untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, menurut laporan media.
“Jadi bagi apa sahaja yang berkaitan dengan angkasa lepas, kita tidak akan benarkan Elon terlibat,” katanya kepada wartawan.
Rumah Putih sebelum ini menyatakan bahawa Musk akan menarik diri daripada sebarang konflik kepentingan antara perniagaan beliau dan usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan menerusi Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE).
Berhubung peranan Musk dalam pentadbiran Trump, Rumah Putih mengesahkan pada Isnin, bahawa beliau adalah seorang staf Rumah Putih dan penasihat kanan kepada Presiden. Bagaimanapun, Musk bukan pekerja DOGE dan tidak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan, menurut kenyataan itu.
Trump pada Selasa turut berkata Musk boleh dianggap sebagai seorang “pekerja” atau “perunding”.
-- BERNAMA-XINHUA