KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Nilai keseluruhan pelaburan asing (FI) yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi merangkumi sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan bagi tempoh Januari hingga September 2024 adalah berjumlah RM254.7 bilion, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI menjelaskan jumlah itu melibatkan 4,753 projek dan dijangka menjana sebanyak 159,347 peluang pekerjaan baharu.
“Prestasi keseluruhan ini adalah 10.7 peratus lebih tinggi berbanding jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh yang sama pada 2023 iaitu RM230.2 bilion,” tambah MITI.
Menurut MITI sektor perkhidmatan merekodkan nilai pelaburan tertinggi bagi tempoh itu dengan menyumbang lebih separuh daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak RM160.7 bilion (63.1 peratus), merangkumi 3,909 projek.
Sektor perkilangan dengan nilai pelaburan RM88.8 bilion (34.9 peratus) dengan 800 projek manakala sektor utama pula sebanyak RM5.2 bilion (2.0 peratus), melibatkan 44 projek, tambah kementerian itu.
“Projek tersebut dijangka mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 100,914 bagi sektor perkhidmatan, 58,017 bagi sektor perkilangan dan 416 bagi sektor utama,” menurut MITI dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.
MITI menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai statistik jumlah pelaburan yang diluluskan dan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) bagi 2024.
Dalam pada itu, MITI menjelaskan terdapat perbezaan terma mengenai FDI yang diguna pakai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berbanding terma FI yang diguna pakai oleh MITI dan MIDA.
“Terma FDI oleh DOSM adalah merujuk kepada pelaburan dalam konteks aliran masuk dan keluar modal asing, dengan fokus kepada transaksi kewangan yang dilakukan oleh syarikat asing.
“Terma FI oleh MITI/MIDA pula merujuk kepada cadangan projek pelaburan swasta yang diusulkan oleh pelabur, dalam pelbagai sektor ekonomi negara yang merangkumi sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan, dengan pecahan FI dan pelaburan tempatan (DI) dihitung melalui pengagihan ekuiti asing atau tempatan,” jelas MITI.
Dalam hal ini, jawapan yang dikemukakan oleh MITI adalah merujuk kepada FI yang pelaporannya di bawah MITI/MIDA, tambah kementerian itu.
Dari segi perbandingan jumlah pelaburan yang diluluskan bagi FI berbanding DI untuk tempoh Januari hingga September 2024, kementerian itu menjelaskan FI merekodkan nilai RM106.7 bilion mewakili 41.9 peratus manakala DI menyumbang sebanyak RM148 bilion atau 58.1 peratus.
Prestasi pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi negara bagi tempoh sepanjang 2024 akan diumumkan semasa sidang media tahunan MIDA yang dijadualkan pada hujung Februari 2025, tambah MITI.
Menurut MITI berdasarkan prestasi dan keadaan ekonomi semasa, MITI amat optimistik bahawa momentum peningkatan prestasi pelaburan dapat diteruskan.
“Kerajaan juga akan sentiasa melipatgandakan usaha dalam merangka strategi dan inisiatif baharu,
“Ini termasuk memperkenalkan reformasi dasar pelaburan bagi meningkatkan lagi keyakinan pelabur serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global dan seterusnya kekal menjadi destinasi pilihan para pelabur,” tambah kementerian itu.
-- BERNAMA