KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di laman sendiri apabila aksi pertama Kumpulan F bertemu Nepal dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor pada 25 Mac ini.
Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul selepas menerima permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan perlawanan di stadium ikonik milik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Beliau berkata AFC tidak mempunyai halangan memandangkan Stadium Sultan Ibrahim sudah mendapat kelulusan sebagai venue rasmi bagi saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) musim ini.
“Pilihan mana nak main itu tertakluk kepada FAM, jadi FAM telah pilih Johor dan kita tiada masalah dengan stadium Johor (Stadium Sultan Ibrahim) kerana di sana ada semua kelengkapan yang diperlukan untuk pertandingan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Berdasarkan laman web rasmi AFC https://www.the-afc.com/en/national/afc_asian_cup/fixtures__standings.html Malaysia terlebih dahulu akan menentang Nepal di tempat sendiri sebelum bermain di gelanggang lawan pada November depan.
Sebelum ini, Windsor dipetik sebagai berkata perlawanan antara Nepal dan Malaysia yang sepatutnya berlangsung di Nepal, akan diadakan di Malaysia, namun lokasi spesifiknya belum diumumkan.
Venue perlawanan asal, katanya terpaksa diubah kerana Stadium Dasharath menjalani penambahbaikan sekali gus enggan mengambil risiko.
Bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 dari 25 Mac ini hingga 31 Mac tahun depan, Malaysia yang dibimbing Peter Cklamovski diundi bersama Vietnam, Nepal dan Laos dengan hanya juara kumpulan layak ke kejohanan yang dijadual berlangsung di Arab Saudi.
-- BERNAMA