DUNIA

RINGGIT DIBUKA TINGGI BERBANDING DOLAR AS

20/02/2025 10:43 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dikeluarkan, menurut penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.4400/4500 daripada 4.4410/4450 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat itu menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) masih belum yakin bahawa inflasi bergerak secara mampan ke arah sasaran dua peratus walaupun pasaran tenaga kerja hampir kepada tahap guna tenaga maksimum.

“Ini menunjukkan bahawa mereka memerlukan lebih banyak bukti sebelum boleh menurunkan kadar faedah dan Kadar Dana Persekutuan perlu dikekalkan untuk mengawal risiko inflasi yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.  

Mohd Afzanizam berkata minit mesyuarat itu turut menyokong Indeks Dolar AS (DXY) yang meningkat daripada 106.880 dalam dagangan awal di AS kepada 107.171 semalaman.  

Beliau berkata pasaran niaga hadapan kini menunjukkan hanya satu penurunan kadar pada tahun ini berbanding dua yang dijangkakan sebelum ini.

"Ini menunjukkan pasaran mula menerima hakikat bahawa Fed berhasrat untuk mengekalkan pendirian dasar monetarinya yang ketat.

“Oleh itu, ringgit dijangka rendah dan berada pada sekitar paras halangan segera pada RM4.45,” katanya.  

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.  

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.6274/6378 daripada 4.6306/6348 dan naik berbanding pound kepada 5.5873/5999 daripada 5.5965/6016. Bagaimanapun, ia rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9361/9431 daripada 2.9277/9305.  

Ringgit turut meningkat berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.  

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3063/3142 daripada 3.3068/3102, baht Thailand kepada 13.1540/1938 daripada 13.1769/1946 dan rupiah Indonesia kepada 271.9/272.7 daripada 272.0/272.4.  

Bagaimanapun, ia sedikit berubah berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.66 daripada 7.64/7.65 sebelum ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan