KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada harga RM11 sesaham adalah bagi memastikan MAHB di landasan tepat untuk disenaraikan semula dengan harga lebih tinggi.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penglibatan KWSP kali ini turut mengambil kira aspek penciptaan nilai tambah lebih strategik dan strategi baharu serta pelaksanaan pelan pemulihan dan penambahbaikan MAHB.
“Ini hanya boleh dikecapi melalui transformasi operasi MAHB,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai keperluan KWSP menjual saham MAHB sebelum mengumumkan dividen serta pelan dana persaraan itu dalam memastikan kejayaan penswastaan MAHB dan memberi pulangan kepada ahli-ahlinya.
Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata tawaran sukarela oleh konsortium yang turut dianggotai KWSP untuk pengambilalihan semua saham MAHB yang belum dimiliki pada harga RM11 sesaham, juga merupakan pelaburan baharu jangka panjang dana persaraan itu.
Mengulas keperluan KWSP menjual saham MAHB sebelum pengumuman dividen, beliau berkata Seksyen 27 Akta KWSP 1991 (Akta 452) menyatakan pengisytiharan dividen adalah mengikut prestasi sebenar pelaburan yang dibuat oleh KWSP.
“Jabatan Ekuiti Awam KWSP mula menjual pegangan KWSP dalam MAHB bermula pada Januari 2023 yang mana ketika itu KWSP memegang 15.5 peratus pegangan saham MAHB untuk merealisasikan peluang keuntungan daripada harga pasaran saham MAHB yang ketika itu mengatasi prestasi indeks komposit FBM KLCI.
“Apa yang perlu ditegaskan di sini ialah penilaian dan perbincangan bagi tawaran am hanya bermula pada Julai 2023 dan pengurus dana di Jabatan Ekuiti Awam KWSP tidak mempunyai sebarang maklumat atau akses kepada maklumat berhubung tawaran ke atas MAHB ini,” katanya.
Pada 13 Feb, 2025, MAHB telah mengemukakan permohonan untuk dinyahsenarai dari Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan hari terakhir saham MAHB diniagakan secara awam pada 19 Feb, 2025.
Susulan itu, Bursa Malaysia Securities akan menggantung dagangan saham MAHB bermula 20 Feb, 2025.
Amir Hamzah berkata sejurus selesainya penyahsenaraian itu, konsortium terbabit akan memberi sepenuh perhatian untuk meningkatkan infrastruktur, ketersambungan serta pengalaman penumpang.
“Mungkin secara kasarnya, perkara-perkara ini seperti tidak memainkan peranan penting kepada pemulihan MAHB tetapi sebenarnya perubahan inilah yang menjadi asas kepada transformasi strategik MAHB,” katanya.
Beliau berkata dalam meningkatkan pelaburan dan menambah baik pengalaman penumpang, rakyat dan pelancong, usaha tidak hanya menumpukan lapangan terbang antarabangsa utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, tetapi turut membabitkan penambahbaikan lapangan terbang lain antaranya di Tawau (Sabah), Kota Bharu (Kelantan) serta Ipoh (Perak).
-- BERNAMA