AM

MAIPK BELUM MUKTAMAD KADAR ZAKAT FITRAH TAHUN INI

20/02/2025 04:40 PM

IPOH, 20 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) belum menetapkan kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun ini.

Yang Dipertuanya Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata pihaknya akan membuat ketetapan mengenai kadar bayaran zakat fitrah selepas pihak pengurusan MAIPk mengadakan mesyuarat pada 27 Feb depan.

"Selepas mesyuarat itu, saya akan persembahkan kepada Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) untuk diperkenankan (kadar bayaran zakat fitrah).

"Jadi, belum ada sebarang keputusan rasmi lagi, tunggu MAIPk akan bermesyuarat pada 27 Feb ini untuk menentukan yang official," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 13 unit Smart TV sumbangan UDA Holdings Berhad (UDA) di Sekolah Kebangsaan Raja Dihilir Ekram di sini hari ini.

Sejak Isnin lepas, tular di media sosial mengenai bayaran zakat fitrah Negeri Perak 1446H/2025 yang ditetapkan iaitu kadar zakat yang baharu iaitu RM10, RM16 dan RM27 seorang mengikut gred dan jenis beras yang dimakan.

Kadar bayaran zakat fitrah di Perak pada tahun lepas ditetapkan pada kadar RM8 bagi yang menggunakan beras special tempatan (lima peratus hancur dan ke bawah) dan yang seumpama/setara.

Bagi beras super import, beras perang, beras wangi dan yang seumpama/setara kadar bayaran ialah RM16 manakala beras basmathi, beras pulut dan yang seumpama/setara kadarnya sebanyak RM24.

Dalam perkembangan lain, Mohd Annuar berkata MAIPk masih menunggu hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengenai empat khatib yang juga imam masjid di negeri ini yang disyaki menyampaikan khutbah Jumaat yang tidak disediakan oleh jabatan itu pada 31 Jan lepas.

Beliau berkata hasil siasatan itu akan dibawa kepada MAIPk untuk dipersembahkan kepada Sultan Nazrin bagi menentukan tindakan susulan.

Sebelum ini, JAIPk menggantung sementara tugas empat khatib masing-masing seorang di Parit Buntar dan Kuala Kangsar serta dua di Teluk Intan kerana disyaki menyampaikan khutbah Jumaat yang tidak disediakan jabatan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan