SHAH ALAM, 20 Feb (Bernama) -- SIRIM Berhad (SIRIM) dan Ensu Lifesciences Sdn Bhd (ELSB) hari ini memeterai perjanjian pelesenan teknologi dalam menghasilkan produk penjagaan kulit berasaskan sisa nanas.
Produk dinamakan Acne and Blemish Control Skin Care Technology itu merupakan inovasi baharu bagi penjagaan kulit untuk kawalan jerawat dan parut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata perjanjian itu merupakan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam mengukuhkan keupayaan dan kapasiti industri merentasi pelbagai domain teknologi.
"Perjanjian ini membolehkan kami berkongsi kepakaran saintifik termaju buat masa ini khusus melibatkan usaha penyelesaian jerawat, di samping mengukuhkan kedudukan ELSB sebagai pemain industri utama dalam sektor kosmetik dan persendirian.
"Hasil kajian mendapati produk berkenaan berkesan memerangi jerawat dan mengurangkan pembentukan parut melalui sifat antioksidannya yang kuat termasuk bebas bahan kimia, tiada toksik serta menggunakan formula selamat," katanya pada sidang media perjanjian kerjasama itu di sini hari ini.
Acne and Blemish Control Skin Care Technology ialah produk kosmetik penjagaan wajah yang dihasilkan daripada tiga bahan asas iaitu ekstrak nanas (Bromelain Enzyme), kulit kayu manis dan limau purut.
Sementara itu, Pengerusi ELSB Dr Suhana Husin Misnan berkata SIRIM menjadi pilihan utama ELSB membangunkan teknologi kosmetik khususnya dalam mendapatkan data kajian yang tepat merangkumi pelbagai jenis kajian yang diperlukan.
Beliau berkata SIRM merupakan agensi yang dipercayai dan perjanjian yang dimeterai membolehkan produk ELSB mendapat kepercayaan ramai sekali gus membuka ruang beralih kepada proses penghasilan produk berskala besar.
"Dalam masa sama, ELSB juga kini sedang menyiapkan projek pendedahan mengenai Acne and Blemish Control Skin Care Technology,” katanya yang menyasarkan jualan sebanyak 10,000 unit produk dalam masa terdekat.
-- BERNAMA