AM

GRAB ANJUR ANUGERAH 5-BINTANG GRABFOOD 2024, METERAI MOC DENGAN TOURISM MALAYSIA

20/02/2025 06:47 PM

PETALING JAYA, 20 Feb (Bernama) -- GrabFood, sebuah platform penghantaran makanan terkemuka, sekali lagi mengiktiraf restoran rakan niaganya yang berjaya memikat selera jutaan rakyat di negara ini melalui Anugerah 5-Bintang GrabFood 2024 di Hotel M World di sini baru-baru ini.

Anugerah tahunan itu, kali ini menampilkan sembilan kategori dengan menyenaraikan 148 restoran terbaik sebagai finalis dan menerima hampir 20,000 undian dari seluruh negara.

Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia Jiong Jian Tan berkata edisi kali ini turut memperkenalkan kategori baharu iaitu 'Trending Dine-Out Restaurant’ sekali gus mencerminkan kepelbagaian dan keunikan arena masakan Malaysia.

“Antara pemenang termasuk Grill Fish bagi kategori ‘Best of the Best’  dan Nasi Ayam Gepuk Original Korn Kitchen untuk kategori ‘Rising Stars’ yang diiktiraf atas usaha mereka mengekalkan mutu dan mengutamakan kepuasan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata ini sebahagian daripada usaha berterusan Grab dalam menyokong kejayaan rakan niaga, bukan sahaja secara dalam talian malah di premis fizikal, sejajar perkembangan dinamik industri makanan dan minuman.

“Pada 2024, rakan niaga GrabFood secara kolektif meraih pendapatan melebihi RM3 bilion, dengan PKS mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, membuktikan keberkesanan platform digital dalam memacu pertumbuhan lestari perniagaan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas Nengbakso, Noerisda dan Bazirah yang memenangi kategori ‘Crowd’s Favourite Healthy Asian Food’ berkata kemenangan itu pencapaian cukup besar dan sokongan pemasaran daripada Grab sangat membantu menarik lebih ramai pelanggan selain mengukuhkan jenama dan meningkatkan jualan.

“Maklum balas dan penilaian pelanggan membantu membina kepercayaan, mendorong tempahan berulang serta meningkatkan kesedaran tentang restoran dan hidangan istimewa kami,” kata pasangan adik beradik itu.

Anugerah 5-Bintang GrabFood 2024 itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) bersama Tourism Malaysia bagi melonjakkan sektor pelancongan makanan Malaysia dengan membuka peluang baharu kepada pengusaha makanan tempatan.

Mengulas mengenai memorandum berkenaan, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata Tourism Malaysia bangga dapat menjalin kerjasama dengan Grab Malaysia bagi memartabatkan Malaysia sebagai hab makanan serantau. 

“Inisiatif seperti GrabFood 5-Star Awards bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian sajian kita malah turut memperkasakan para usahawan tempatan untuk melonjak lebih jauh. Kami berharap dapat memanfaatkan platform Grab dan jaringannya yang luas untuk memudahkan pelancong dan pengembara menemui lokasi-lokasi makanan di seluruh Malaysia, 

“Ini sekali gus memperkaya pengalaman dan penghayatan mereka terhadap warisan makanan kita yang tidak ternilai. Selain itu, kami berharap inisiatif ini akan membuka lebih banyak platform kepada syarikat korporat lain untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia sebagai rakan strategik dalam perjalanan kami menuju VM2026,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Acara itu turut menampilkan corak batik dihasilkan oleh seniman Arif Rafhan Othman sebagai tema latar belakang yang menghiasi anugerah gilang-gemilang berkenaan.

Platform Grab kini menjadi nadi kepada satu daripada 20 pengguna di seluruh Asia Tenggara dengan 65 peratus pelancong asing di Malaysia menggunakan aplikasi Grab.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan