Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil
MANAMA (Bahrain), 20 Feb (Bernama) - Malaysia dan Bahrain, komited untuk mengukuhkan kerjasama termasuk dalam teknologi kewangan seperti mata wang kripto dan platform sandbox, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Teknologi Sandbox ialah amalan keselamatan siber yang, antara lainnya, melindungi peranti hos dan sistem operasi manakala mata wang kripto ialah mata wang digital, yang merupakan bentuk pembayaran alternatif yang dicipta menggunakan algoritma penyulitan.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengawal selia pembelian dan penjualan mata wang kripto tertentu di Malaysia. Bagaimanapun, ia bukan tender yang sah.
“Selain itu, kami turut membincangkan kerjasama pelancongan, kesalinghubungan Kuala Lumpur - Manama, dan sektor pembuatan,” kata beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan kepada media Malaysia di Manama, ibu kota Bahrain.
Walaupun tiada butiran terperinci didedahkan, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengesahkan bahawa perbincangan mengenai kerjasama itu berlaku semasa pertemuan dengan Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa, awal hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan rancangan kemungkinan untuk mengembalikan penerbangan terus antara Malaysia-Bahrain.
Anwar tiba di sini pada awal pagi Rabu bagi mengadakan lawatan rasmi pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke negara Teluk itu atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Salman Hamad Al Khalifa.
Beliau berkata Bahrain yang terletak antara Qatar dan pantai timur laut Arab Saudi itu juga menyatakan komitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China yang akan dihadiri Putera Mahkota.
“Saya percaya kolaborasi antara Malaysia dan Bahrain dalam bidang yang dipersetujui akan memberi manfaat langsung kepada ekonomi dan rakyat kedua-dua negara,” kata beliau.
Anwar juga dijadualkan menghadap Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, di Istana Sakhir, lewat hari ini, sebelum berangkat pulang ke tanah air.
Menurut data daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) jumlah eksport Malaysia ke Bahrain meningkat sebanyak 17.4 peratus kepada RM251.2 juta (US$54.8 juta) daripada RM214 juta (US$46.9 juta) pada 2023.
Peningkatan ini disumbang terutamanya oleh eksport peralatan pengangkutan yang lebih tinggi ke negara tersebut.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bahrain berkembang kepada RM1.19 bilion (US$260 juta) pada 2024, berbanding RM1.5 bilion (US$330 juta) pada 2023.
Manakala import Malaysia dari Bahrain berjumlah RM934.3 juta (US$205.6 juta) berbanding RM1.28 bilion (US$279.7 juta) pada 2023, disokong oleh peningkatan import produk logam oleh Malaysia.
Pada 2024, perdagangan Malaysia-Bahrain bernilai RM1.19 bilion dengan eksport sebanyak RM251.2 juta dan import RM943.3 juta.
Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di Asia Barat tahun lepas, manakala Malaysia disenaraikan sebagai rakan dagang ketiga terbesar Bahrain dalam kalangan negara ASEAN dan ke-18 di peringkat global pada 2023.
Lawatan Anwar ke Bahrain diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan para pegawai kanan kerajaan.
-- BERNAMA