KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Ketua-Ketua Unit Antipemerdagangan Orang (HSU) ASEAN kali ke-39 yang diadakan di Pulau Pinang pada Selasa menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menangani isu utama dalam memerangi pemerdagangan orang di rantau ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan mesyuarat di bawah Mesyuarat Pegawai Kanan Mengenai Jenayah Transnasional (SOMTC) itu juga memfokuskan untuk menyemak Pelan Kerja HSU 2023–2024 dan membincangkan Pelan Kerja HSU 2025–2026, termasuk kemas kini kepada Terma Rujukan (TOR) HSU.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) Polis Diraja Malaysia (PDRM) SAC Soffian Santong dan dihadiri 38 perwakilan dari 10 negara anggota ASEAN, serta wakil Sekretariat ASEAN.
Selain itu, wakil ASEAN-Australia Counter Trafficking (ASEAN-ACT) turut membuat pembentangan khas mengenai program untuk mengukuhkan kerjasama penyiasatan di bawah mekanisme HSU di rantau ASEAN.
"Pembentangan itu mencerminkan komitmen berterusan ASEAN untuk menangani ancaman baharu yang muncul seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan, dan kesan perubahan iklim bagi memastikan rantau ini bersedia mendepani cabaran masa depan," menurut kenyataan itu.
Mesyuarat berkenaan juga menyumbang secara langsung kepada visi ASEAN untuk mengukuhkan keselamatan serantau dan menggalakkan kerjasama serta membina kepercayaan.
“Komitmen Malaysia terhadap prinsip-prinsip yang digariskan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Piagam ASEAN, dan undang-undang antarabangsa memastikan bahawa inisiatif diteruskan berlandaskan kedaulatan undang-undang.
“Selain itu, perbincangan dan hasil mesyuarat menekankan peranan ASEAN dalam menangani kedua-dua cabaran keselamatan serantau dan global, termasuk jenayah transnasional sambil kekal relevan dalam kepesatan landskap geopolitik,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat itu juga memperlihatkan kepentingan usaha kolektif ASEAN untuk memerangi pemerdagangan orang, memperkukuh kerjasama serantau dan komitmen melindungi golongan rentan.
“Ia turut menyerlahkan kekuatan perpaduan ASEAN dan komitmen kolektif untuk menangani jenayah transnasional, mengukuhkan visi bersama rantau ini bagi masa depan lebih selamat dan terjamin,” katanya.
-- BERNAMA