JENAYAH & MAHKAMAH

ENAM JURUTERBANG TUDM JALANI LATIHAN KENDALI PESAWAT FA-50M DI KOREA SELATAN OKTOBER INI

21/02/2025 01:04 AM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Enam juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalani latihan intensif untuk membiasakan diri dengan sistem operasi pesawat baharu FA-50M di Korea Selatan pada Oktober ini.

TUDM dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, sebanyak 51 anggota kejuruteraannya akan menyertai kursus senggaraan bermula Januari tahun hadapan sekali gus memastikan kesiapsiagaan teknikal pesawat dalam perkhidmatan TUDM kelak.

Menurut TUDM,  kenyataan itu susulan lawatan kerja Panglima Tentera Udara (PTU) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan ke Korea Aerospace Industries (KAI) di Korea Selatan pada 17 dan 18 Feb lepas untuk meninjau perkembangan pembangunan pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

Semasa lawatan berkenaan, Mohd Asghar Khan mencipta detik bersejarah apabila turut serta dalam penerbangan pesawat FA-50 milik KAI bersama juruterbang penguji.

"Pengalaman secara langsung ini membolehkan PTU menguji keupayaan pesawat dalam aspek maneuverability, sistem avionik serta kesesuaian pesawat tersebut untuk memenuhi keperluan operasi dan latihan TUDM.

"Berdasarkan penilaian beliau, pesawat FA-50M bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal dan taktikal tetapi juga berpotensi menjadi aset strategik dalam memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, lawatan tersebut juga menjadi platform untuk melihat sendiri kemajuan dalam proses pembangunan aset baharu TUDM yang bakal menjadi pemangkin kepada evolusi keupayaan operasi dan latihan pertempuran udara negara.

TUDM juga memaklumkan lawatan tersebut memperkukuh hubungan industri pertahanan antara Malaysia dan Korea Selatan, apabila PTU turut mengunjungi syarikat Hanwha Aerospace dan Korea Aviation Engineering & Maintenance Services (KAEMS). 

Kedua-dua syarikat tersebut memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan serta penyelenggaraan pesawat FA-50M bagi memastikan kelangsungan operasi dan keberkesanan perkhidmatan pesawat ini dalam jangka panjang.

Pada September tahun lepas, dilaporkan tahap kemajuan pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M milik Malaysia telah mencapai 39 peratus ketika ini dengan TUDM dijangka mula menerima kumpulan pertama pesawat pejuang itu pada 2026.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kesemua pesawat pejuang ringan berkenaan dibina mengikut jadual dan perolehan pesawat pejuang ringan FA-50M itu adalah antara perancangan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan