AM

N.SEMBILAN OPTIMIS CAPAI SASARAN 20 JUTA KEHADIRAN PELANCONG TAHUN INI - AMINUDDIN

21/02/2025 08:26 PM

SEREMBAN, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan optimis sasaran 20 juta pelancong ke negeri berkenaan pada tahun ini tercapai menerusi 86 aktiviti dan acara yang dirancang dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2025.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tiga kluster utama yang diberi fokus membabitkan acara berkaitan pantai dengan 60 peratus, ekopelancongan (30 peratus) serta adat, warisan dan budaya (10 peratus) itu akan menggamit minat pelancong.

Beliau berkata peningkatan kepada 86 acara pada tahun ini berbanding 51 acara pada 2024 juga menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam mempergiat usaha mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. 

“Berdasarkan laporan yang saya terima, pada Januari lepas sahaja, kira-kira sejuta pelancong berkunjung ke Port Dickson, kalau kita boleh kekalkan angka itu, 12 bulan kita boleh dapat 12 juta pelancong, itu tidak termasuk di daerah-daerah lain.

“Orang datang ke Negeri Sembilan bukan sahaja ke pantai, ada yang hadir ke Kuala Pilah, Lenggeng dan sebagainya. Di sana ada aktiviti tersendiri yang dapat menarik minat orang luar, kehadiran pelancong ke sini sebahagiannya adalah pelancong domestik. Kita juga beri tumpuan bawa pelancong dari luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan COE Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata antara aktiviti itu ialah NS Fest, Pesta Bola Ngoca, Trans Naning Ultra NS Challenge 2024, Tampin MTB Jamboree, Kejuaraan Petronas Cubprix selain Port Dickson Mega Food Festival 2025, Kayuhan Merdeka Jelajah N9 dan Visit N9 Amazing Race.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata COE berkenaan menjadi platform pengukuhan produk pelancongan sedia ada serta pembinaan produk baharu bagi menarik lebih banyak kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

Sementara itu, Aminuddin ketika ditanya sama ada kes penyakit kusta di Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah akan memberi kesan terhadap pelancongan berkata orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana situasi adalah terkawal selain dua kampung itu jauh dari kawasan tumpuan.

“Ia tidak memberi kesan kepada pelancong, orang ramai jangan risau, kita kawal rapi situasi itu selain Kementerian Kesihatan juga sudah ambil langkah sewajarnya dan memberi jaminan situasi adalah terkawal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihak berkaitan termasuk Jabatan Veterinar dan Jabatan Alam Sekitar telah membuat pemantauan dan tindakan bersesuaian susulan aduan penduduk mengenai aktiviti pemprosesan bangkai babi secara haram di Kampung Baru Site A, Port Dickson baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan