AM

JUALAN RAHMAH SALAM RAMADAN DI JOHOR TAWAR POTONGAN HINGGA 30 PERATUS

22/02/2025 04:18 PM

JOHOR BAHRU, 22 Feb (Bernama) -- Program Jualan Rahmah (PJR) Salam Ramadan 2025 yang berlangsung di lapan lokasi terpilih di Johor bermula pada hari ini hingga 7 Mac, menawarkan potongan harga 10 hingga 30 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata program yang diadakan dari 9 pagi hingga 6 petang itu diharapkan dapat meringankan beban Bangsa Johor untuk melakukan persediaan menyambut Ramadan tidak lama lagi.

"Orang ramai diseru mengambil peluang membeli pelbagai barangan keperluan asas dengan potongan yang ditawarkan," katanya pada sidang media selepas meninjau PJR Salam Ramadan 2025 di Tapak Pasar Khamis Kampung Sungai Tiram di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor Lilis Saslinda Pornomo.

Selain Tapak Pasar Khamis Kampung Sungai Tiram, Lee berkata lokasi lain PJR Salam Ramadan 2025 ialah di Tapak Lama Pasar Minggu Taman Anggerik Bandar Tenggara, Pekarangan Kompleks Sukan Komuniti FELDA Ulu Belitong, JDT Corner Big Screen Dataran Cenderawasih, Dewan Serbaguna DUN Kemelah Taman Pelangi Segamat, Dewan Serbaguna Benut Pontian, MS Downtown Parit Sulong, dan Tapak Parkir Hadapan Pasaraya Mari-Mari Mersing. 

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan orang ramai beratur bagi mendapatkan barangan keperluan asas terutama minyak peket, telur, beras serta ayam segar.

Lee dalam pada itu berkata Program Bazar Ramadan Rahmah (BRR) turut diadakan di lapan Bazar Ramadan tumpuan pengunjung pada 1 hingga 31 Mac ini dengan penglibatan 963 peniaga.

Beliau berkata ia melibatkan Bazar Ramadan Taman Dahlia Johor Bahru, Bazar Ramadan Dewan Jubli Intan Muar, Bazar Ramadan Taman Intan Kluang, Bazar Ramadan Bandar Utama Segamat, Bazar Ramadan PESTA Batu Pahat, Bazar Ramadan Taman Sri Saujana Kota Tinggi, Bazar Ramadan Taman Wawasan Mersing, dan Bazar Ramadan Pekan Nenas Pontian.

"Pada masa sama, baucar Touch'n Go eWallet bernilai RM20 untuk pengunjung dan RM100 untuk peniaga turut ditawarkan di lokasi BRR terpilih.

"Ia sebagai tarikan buat pengunjung, di samping memperluas Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang menggalakkan pembayaran tanpa tunai," katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPDN Johor juga bakal melaksanakan Program Jualan RAHMAH MADANI Dalam Premis bersempena dengan Minggu Gaji di 55 premis pasar raya terpilih merangkumi 26 Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu dari 24 hingga 28 Feb ini.

Beliau berkata program berkenaan merupakan antara inisiatif kementerian di bawah Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat bagi membeli keperluan asas pada harga yang lebih murah. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan