JASIN, 22 Feb (Bernama) -- Agrobank memperuntukkan sejumlah RM140,000 bagi melaksanakan Program Aquaculture Aspire di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas dengan sumbangan teknologi bioflok.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata ia sebagai usaha dalam memperkasakan pelajar dalam bidang akuakultur sekali gus menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara.
"Menerusi program itu, ia memberi pendekatan yang unik dan berinovasi melalui penggunaan teknologi bioflok yang mesra alam untuk penternakan ikan tilapia.
"Teknologi ini membolehkan pengurangan penggunaan air dalam sistem ternakan, di samping meningkatkan mutu kualiti air dengan mewujudkan ekosistem yang optimum untuk pembiakan ikan yang lebih efisien,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata melalui sumbangan teknologi bioflok, ia juga mendedahkan bakat muda dalam bidang akuakultur, khususnya kepada kaedah ternakan ikan yang lebih mampan.
Beliau berkata pemilihan SMK Nyalas itu juga berdasarkan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dengan pengkhususan dalam bidang pertanian yang ditawarkan di sekolah berkenaan.
"Mengambil kira potensi itu, Agrobank selaku institusi utama dalam sektor agro telah melaksanakan inisiatif terbabit bagi meningkatkan kemahiran praktikal dan pengetahuan pelajar dalam bidang akuakultur moden.
“Melalui program ini, Agrobank berhasrat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dengan gabungan teori dan amali di luar bilik darjah sekali gus memberi peluang kepada mereka meneroka bakat dan potensi membentuk kerjaya masa depan," katanya.
Beliau berkata di samping itu pada peringkat sekolah, aktiviti berkenaan juga berpotensi menjadi inisiatif keusahawanan yang dapat menjana pendapatan bagi menyokong perkembangan ekonomi sekolah dalam melaksanakan pelbagai aktiviti pembelajaran lain.
Terdahulu, Agrobank mengadakan sesi pelepasan anak ikan tilapia di SMK Nyalas yang disempurnakan oleh wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Yuhaizad Abdullah.
Dalam majlis yang sama, Agrobank turut menyampaikan bantuan zakat kepada 50 pelajar.
-- BERNAMA