AM

AKAUN MEDIA SOSIAL PALSU MENYAMAR SULTAN IBRAHIM, ORANG RAMAI DIINGATKAN TIDAK TERPENGARUH

23/02/2025 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) memaklumkan terdapat akaun media sosial palsu yang menyamar sebagai Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan menggunakan gambar Keluarga Diraja Johor tanpa kebenaran.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan akaun-akaun palsu ini yang sering digunakan oleh scammers untuk tujuan penipuan di Facebook serta platform media sosial lain,” menurut hantaran itu.

Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor juga menegaskan penyamaran dan penyalahgunaan identiti adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat.

Dalam hantaran sama, beberapa tangkap layar turut disertakan memaparkan akaun palsu tersebut di platform X bersama dengan hantaran-hantaran yang dibuat.

Sebelum ini, dilaporkan terdapat akaun palsu menggunakan identiti Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di platform Instagram.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan