KUANTAN, 23 Feb (Bernama) -- Banjir di daerah Temerloh pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 236 mangsa daripada 74 keluarga, ditutup tengah hari tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Temerloh Mohamad Irwan Mohamad berkata kesemua mangsa yang berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan dibenarkan pulang kira-kira 1 tengah hari tadi susulan cuaca semakin baik.
"Namun, penduduk terutamanya di kawasan rendah dinasihatkan berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa memandangkan negara masih dalam tempoh Monsun Timur Laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Banjir di Kampung Batu Kapor, Temerloh berpunca daripada limpahan Sungai Semantan yang menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke PPS sejak Khamis lepas.
--BERNAMA