SUKAN

ATC 2025: SKUAD MALAYSIA CAPAI SASARAN PINGAT

23/02/2025 08:33 PM

NILAI, 23 Feb (Bernama) -- Skuad negara berjaya mencapai sasaran pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional apabila meraih tambahan tiga lagi pingat hari ini iaitu satu perak dan dua gangsa.

Perak dimenangi menerusi perlumbaan scratch wanita manakala gangsa masing-masing disumbangkan dalam acara pecut individu lelaki dan wanita sekali gus menjadikan keseluruhan lima pingat setakat ini.

Sebelum ini ketua jurulatih pasukan berbasikal trek negara Mohd Harnizam Basri meletakkan sasaran tiga pingat tanpa mengira warna bagi kejohanan itu.

“Alhamdulillah, kita berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan sebelum ini. Atlet-atlet juga kalau kita lihat di kejohanan ini berjaya menampilkan prestasi seperti apa yang kita mahukan.

“Saya percaya mungkin akan ada tambahan lagi pingat dalam acara keirin dan ujian masa individu 1 kilometer lelaki dan wanita,” kata Mohd Harnizam ketika ditemui.

Terdahulu dalam perlumbaan scratch wanita, wakil negara Nur Aisyah Mohamad Zubir mencipta kejutan apabila menamatkan saingan pada kedudukan kedua di belakang atlet Hong Kong, Lee Sze Wing manakala wakil Jepun Ayana Mizutani di tempat ketiga.

Bagi acara pecut individu lelaki, atlet berbasikal negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turun menentang adiknya Muhammad Ridhwan pada perlumbaan penentuan pingat gangsa tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan bersih 2-0.

Sebelum ini adik-beradik itu terpaksa berlumba di pusingan penentuan pingat gangsa selepas tewas 2-0 kepada lawan masing-masing dari Jepun, Kaiyo Ota dan Shinji Nakano yang juga merupakan pemenang pingat emas dan perak kategori pecut individu. 

Mengulas mengenai kejayaan hari ini, Muhammad Shah Firdaus berkata beliau tidak sangka mampu menyumbang pingat buat pasukan negara memandangkan sasaran awal yang diletakkan kepadanya adalah untuk mara ke suku akhir susulan kecederaan lutut yang dialaminya.

“Saya tak tahu macam mana saya boleh lepas masuk penentuan pingat gangsa walaupun masih bergelut masalah lutut. Saya berterima kasih kepada pasukan Malaysia yang uruskan saya dengan sangat baik,” katanya kepada pemberita. 

Muhammad Shah Firdaus sekali gus mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya tahun lepas di New Delhi.

Sementara itu, ratu berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut mempertahankan gangsa yang dimenanginya tahun lalu dalam acara pecut individu wanita.

Atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu yang tewas 2-0 di pusingan separuh akhir pada perlumbaan sebelah pagi menentang wakil China Guo Yu Fang, bangkit untuk mengungguli perlumbaan penentuan tempat ketiga dan keempat bagi menewaskan Bao Shanju juga dari China dengan keputusan 2-1.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan