KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Institusi tempatan terus menyokong Bursa Malaysia dengan belian bersih berjumlah RM194.2 juta dalam ekuiti domestik minggu lepas berbanding belian bersih sebanyak RM77.9 juta pada minggu berakhir 14 Februari.
Dalam Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 21 Februari, MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata belian bersih institusi tempatan dicatatkan pada tiga daripada lima hari dagangan minggu lepas, dengan aliran masuk bersih pada Isnin, Rabu dan Khamis, masing-masing berjumlah RM130.8 juta, RM85.4 juta dan RM35.3 juta.
Bagaimanapun, pelabur runcit tempatan menamatkan belian mereka selama empat minggu berturut-turut di Bursa Malaysia dengan aliran keluar bersih sebanyak RM24.8 juta dalam ekuiti, menjadikan dua minggu jualan bersih setakat ini pada 2025.
Menurut MIDF Amanah, pelabur asing terus menjual ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu ke-16 berturut-turut walaupun kadar aliran keluar perlahan kepada RM169.4 juta daripada RM503.3 juta pada minggu berakhir 14 Februari.
Pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali Jumaat, dengan Isnin mencatatkan aliran keluar tertinggi sebanyak RM151.9 juta.
Pada Selasa, Rabu dan Khamis, aliran keluar berjumlah RM18.5 juta, RM65.1 juta dan RM27.1 juta.
“Jumaat mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM93.2 juta, menamatkan aliran keluar asing bersih selama 24 hari berturut-turut,” katanya.
Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM117.2 juta), pembinaan (RM111.0 juta) dan teknologi (RM77.6 juta).
Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM181.4 juta), produk perindustrian dan perkhidmatan (RM92.7 juta) dan tenaga (RM61.2 juta).
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara keseluruhan minggu lepas, kecuali pelabur asing.
“Pelabur asing mencatatkan penurunan sebanyak 8.7 peratus manakala institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan, masing-masing mencatatkan lonjakan sebanyak 7.8 peratus dan 1.0 peratus,” menurut MIDF Amanah.
-- BERNAMA