AM

3,577 USAHAWAN INDIA TERIMA PEMBIAYAAN PROGRAM PENN BERJUMLAH RM32.65 JUTA SETAKAT 31 DIS 2024

24/02/2025 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Seramai 3,577 usahawan India telah menerima pembiayaan dalam program Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN) berjumlah RM32.65 juta sehingga 31 Dis 2024.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R.Ramanan berkata inisiatif di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia itu telah membantu wanita India menceburkan diri dalam bidang keusahawanan seterusnya memajukan diri dan keluarga.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di bawahnya komited untuk menggalakkan golongan wanita termasuk suri rumah menceburi bidang keusahawanan dengan memberi program bimbingan dan latihan keusahawanan merangkumi aspek teknologi, kemahiran dan pengurusan perniagaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang ingin tahu mengenai usaha kementerian untuk menggalakkan pasangan isi rumah khususnya suri rumah melibatkan diri sebagai usahawan mikro terutama memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi terkini, latihan kemahiran dan kursus perniagaan.

Program PENN dilancarkan pada 13 April 2024 dengan dana khas berjumlah RM50 juta.

Ramanan berkata antara program lain yang dilaksanakan KUSKOP ialah program asas keusahawanan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Ia memberi bimbingan dan pendedahan kepada usahawan baharu yang ingin memulakan perniagaan melalui program seperti Kursus Asas Keusahawanan (KAK), Kursus Asas Industri (INBT), Program Latihan Bisnes (IBT) dan Sesi Konsultasi Bisnes BizClinic.

“Pada 2024, seramai 287 usahawan wanita yang terdiri daripada suri rumah telah menerima manfaat daripada program tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya Program RAKYATPreneur B40 (iTekad) oleh Bank Rakyat yang menyediakan bantuan latihan dan bimbingan kepada usahawan B40 bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan perniagaan.

Beliau berkata seramai 140 usahawan wanita B40 telah menerima manfaat daripada program tersebut pada tahun lepas.

Katanya KUSKOP turut melaksanakan Skim Pembiayaan Online Tekun (SPOT) di bawah TEKUN Nasional kepada 649 usahawan wanita yang menjalankan perniagaan secara dalam talian atau dari rumah pada 2024.

“Semua usahawan ini diwajibkan untuk menyertai Seminar Asas Keusahawanan (SAK) yang bertujuan memberi pendedahan serta kemahiran asas perniagaan kepada penerima pembiayaan TEKUN Nasional,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan