KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kedudukan aset 142 daripada 145 Agensi Persekutuan meningkat 7.3 peratus kepada RM2.696 trilion pada 2023 berbanding RM2.512 trilion pada tahun sebelumnya, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut analisis penyata kewangan Agensi Persekutuan, LKAN menyatakan liabiliti bagi agensi sama mencatatkan penurunan sebanyak 1.6 peratus, daripada RM0.885 trilion kepada RM0.871 trilion dalam tempoh yang sama.
“Analisis Audit terhadap perbandingan antara aset dan liabiliti mendapati 137 Agensi Persekutuan mempunyai jumlah aset lebih tinggi berbanding jumlah liabiliti, manakala lima Agensi Persekutuan menunjukkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding jumlah aset,” menurut laporan itu.
Antara agensi berkenaan ialah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mencatatkan liabiliti bersih RM342.46 juta akibat Dana Pinjaman (Sukuk) yang perlu diselesaikan menjelang 2027 dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan liabiliti bersih RM140.15 juta berikutan Pemiutang Syarikat Konsesi dan Perbelanjaan Terakru yang tinggi.
Analisis penyata kewangan bertujuan menilai prestasi Agensi Persekutuan terhadap lima perkara, iaitu aset dan liabiliti, geran Kerajaan Persekutuan, pinjaman diterima, pelaburan dalam syarikat subsidiari dan lebihan dan kekurangan semasa Agensi Persekutuan.
Selain itu, pada 2023 sebanyak 98 daripada 142 Agensi Persekutuan menerima geran berjumlah RM33.628 bilion merangkumi RM16.305 bilion untuk geran mengurus dan RM17.323 bilion bagi geran pembangunan.
Lima penerima geran tertinggi ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
“Secara keseluruhannya, Agensi Persekutuan telah menggunakan geran mengurus untuk perbelanjaan operasi pada tahun semasa dan geran pembangunan untuk melaksanakan obligasi yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Bagaimanapun, terdapat baki geran pembangunan pada akhir 2023 yang disebabkan oleh obligasi pelaksanaan belum diselesaikan sepenuhnya dan dalam proses pemulangan semula atau kegunaan tujuan lain tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan,” menurut laporan itu.
Selain sebanyak 20 daripada 142 Agensi Persekutuan mempunyai pinjaman berjumlah RM126.564 bilion dengan empat agensi mengambil pinjaman baharu sebanyak RM7.309 bilion pada 2023 daripada Kerajaan Persekutuan dan institusi kewangan.
Agensi berkenaan ialah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sebanyak RM5 bilion, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) (RM2.230 bilion), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) (RM0.050 bilion) dan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) (RM0.029 bilion).
Laporan itu turut mendedahkan analisis audit terhadap lima Agensi Persekutuan yang mempunyai baki pinjaman tertinggi mendapati dua daripadanya iaitu LPK dan FELDA mempunyai pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.876 bilion.
-- BERNAMA