BEIJING, 24 Feb (Bernama-CMG) -- Pihak terlibat dalam isu Palestin digesa supaya terus melaksanakan perjanjian gencatan senjata dan mempercepat rundingan susulan dengan sikap yang konstruktif.
Gesaan itu dibuat oleh Menteri Luar China Wang Yi dalam sidang media di sini, pada Sabtu ketika diminta menjelaskan pendirian Beijing mengenai usaha mendorong penyelesaian isu Palestin untuk fasa seterusnya.
Wang berkata Gaza dan Tebing Barat merupakan tempat tinggal bagi rakyat Palestin, bukan instrumen tawar-menawar dalam mainan politik.
Menurut beliau, 'rakyat Palestin mentadbir Palestin' adalah prinsip penting yang perlu dipatuhi dalam tadbir urus Gaza pasca konflik.
Berhubung pembangunan semula Gaza, beliau berkata usaha harus dipergiat untuk menggariskan satu pelan yang boleh diterima semua pihak dengan memprioritikan kehendak rakyat Palestin khususnya penduduk Gaza.
Wang menyatakan formula 'penyelesaian dua negara' mesti dipegang teguh oleh pihak terbabit, biarpun pelaksanaannya kini berdepan pelbagai kesulitan.
Beliau turut mengulangi pendirian bahawa China akan terus berusaha menggalakkan penyelesaian isu Palestin secara komprehensif, adil dan tuntas ke arah mewujudkan ketenteraman berkekalan di Asia Barat.
-- BERNAMA-CMG