AM

SARAWAK BANGUNKAN DUA FASILITI PASCAPERUBATAN ALA RESORT

24/02/2025 04:13 PM

KUCHING, 24 Feb (Bernama) -- Sarawak akan membangunkan fasiliti pascaperubatan yang menampilkan suasana seperti resort di Damai dan Teluk Melano, dekat sini, kata Premier Tan Seri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata fasiliti berkenaan dijangka dilengkapi dengan padang golf, sekali gus memberikan peluang kepada pesakit untuk berehat lebih lama dan menjalani proses pemulihan dalam suasana semula jadi yang lebih baik.

“Ini adalah usaha yang dipacu oleh sektor swasta yang yakin dan melabur di sini untuk menyediakan kemudahan resort terbaik. 

“Jadi, apabila orang luar negara datang berubat, mereka dapat tempat untuk pulih selepas keluar dari hospital,” katanya selepas majlis pecah tanah Hospital Gleneagles Kuching, di sini hari ini.

Abang Johari mengambil contoh di Maldives yang menjadi destinasi bagi golongan berkemampuan menjalani proses rawatan daripada doktor pakar dari India, seterusnya kekal di sana sehingga pulih.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Abang Johari berkata Hospital Gleneagles bukan sahaja menyediakan perkhidmatan perubatan seperti penjagaan jantung, rawatan kanser dan pembedahan, malah turut menggunakan teknologi terkini sert amempunyai pasukan pakar dalam pelbagai disiplin perubatan.

“Menerusi amalan terbaik dalam kecemerlangan klinikal, keselamatan pesakit dan rawatan inovatif, Hospital Gleneagles di Kuching akan menetapkan piawaian baharu dalam penjagaan kesihatan di rantau ini.

“Hospital yang lengkap dengan peralatan canggih, akan memperkasa tenaga kerja perubatan kami manakala potensi pelancongan perubatan memberi manfaat tambahan kepada industri seperti perhotelan, peruncitan dan pengangkutan,” katanya.

IHH Healthcare dalam kenyataan memaklumkan Hospital Gleneagles terletak di Jalan Lintang Selatan dengan pelaburan sekitar RM400 juta akan dibuka pada suku kedua 2028.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan