AM

LPK LAKSANA SEKATAN KELUAR MASUK KENDERAAN TERLEBIH BERAT KE PELABUHAN KLANG MULAI 1 MEI

24/02/2025 05:42 PM

KLANG, 24 Feb (Bernama) -- Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) akan melaksanakan sekatan ke atas kenderaan ‘haulier’ yang membawa muatan melebihi Berat Gabungan Kenderaan (BGK) keluar dan masuk Pelabuhan Klang berkuat kuasa 1 Mei ini.

Pengerusi LPK Ean Yong Hian Wah berkata pelaksanaan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Pasukan Petugas-Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) yang dipengerusikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 25 Nov tahun lepas.

Beliau berkata pihaknya telah menerima surat rujukan bagi melaksanakan sepenuhnya keputusan NLTF pada 18 Feb lepas, yang antara lain menetapkan LPK perlu membuat sekatan bagi menghalang kenderaan haulier daripada membawa muatan melebihi BGK dari atau ke Pelabuhan Klang berdasarkan peraturan sedia ada.

"Misi utama penguatkuasaan ini adalah bagi meminimumkan kerosakan dan mengurangkan kos penyelenggaraan jalan raya di Pelabuhan Klang termasuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Hal ini kerana kita dapati satu daripada faktor utama punca kerosakan jalan raya ialah kenderaan haulier membawa lebih muatan selain menyumbang kepada kes kemalangan maut di laluan tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Berhubung pelaksanaan, Ean berkata semua transaksi import akan disemak di peringkat tempahan dan tempahan akan ditolak sekiranya jumlah muatan melebihi BGK iaitu berat gabungan haulier (badan tanpa muatan), treler (badan tanpa muatan) dan kontena (verified gross mass).

Beliau berkata transaksi eksport pula akan ditimbang di pintu masuk pelabuhan dan sekiranya kenderaan haulier didapati melanggar jumlah muatan melebihi BGK sebanyak tiga kali maka kenderaan haulier tersebut akan disekat daripada memasuki pelabuhan.

Setakat ini sebanyak 80 peratus daripada 410 buah syarikat meliputi 9,500 kenderaan haulier berdaftar dengan LPK beroperasi di Pelabuhan Klang setiap hari,” katanya dan menambah 

kesemua wakil syarikat telah diberikan taklimat berhubung pelaksanaan sekatan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan