AM

MALAYSIA AKAN CADANG INISIATIF AI KEPADA SEKRETARIAT ASEAN UNTUK KEMAJUAN RANTAU - JOHARI

24/02/2025 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Malaysia akan mencadangkan inisiatif kecerdasan buatan (AI) kepada Sekretariat ASEAN untuk memastikan teknologi ini digunakan secara meluas di seluruh rantau ini, menurut Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Johari, yang juga Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 berkata Malaysia dijangka memainkan peranan yang lebih penting dalam memimpin komuniti ASEAN menuju pemahaman yang lebih mendalam mengenai AI.

“Kita memerlukan keupayaan AI dengan segera kerana dunia semakin kompetitif, dan kita perlu bersedia. Selain itu, kita juga mempengerusikan ASEAN tahun ini, jadi kita perlu menunjukkan bahawa kita bersedia dengan keupayaan AI. Ini juga boleh menjadi contoh bagi negara-negara ASEAN lain yang akan melihat kita sebagai panduan tentang bagaimana untuk menerapkan kemajuan AI.

“Oleh itu, kita mungkin mencadangkan kepada Sekretariat ASEAN untuk menjadikan ini sebagai antara isu utama (di Sidang Kemuncak ASEAN) kerana Malaysia seharusnya memimpin komuniti ASEAN untuk menjadi lebih peka terhadap AI, berkongsi pengetahuan kita dengan negara-negara lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran ‘AI untuk Masa Depan Malaysia’ di lobi Parlimen hari ini.

Pameran dua hari yang mempamerkan perkembangan terkini dalam teknologi AI ini, dianjurkan bersama oleh Parlimen Malaysia, Kementerian Digital (Pejabat AI Negara), UNITAR International University, dan Microsoft.

Sementara itu, Johari berkata UNITAR akan menawarkan kursus untuk Ahli Parlimen, serta pegawai Parlimen bagi mengukuhkan pemahaman mereka mengenai kedudukan Malaysia dalam bidang AI.

“Dengan cara ini, apabila mereka turun ke lapangan, mereka dapat mengajar orang lain,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan