AM

KPJU JALIN 12 PERKONGSIAN STRATEGIK PERKASA INOVASI PERUBATAN

24/02/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- KPJ Healthcare University (KPJU) memperkukuh peranan dalam pendidikan dan penyelidikan penjagaan kesihatan melalui perkongsian strategik dengan 12 institusi pendidikan dan penyelidikan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Coporation yang juga Pengerusi KPJU Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dalam kenyataan di sini hari ini berkata perkongsian itu bertujuan memacu inovasi, pembangunan tenaga kerja dan latihan khusus dengan KPJ Health System.

"Dengan menggabungkan kepakaran daripada pemain utama akademik dan industri, kami bukan hanya memperkukuh keupayaan universiti, tetapi juga memastikan hospital kami terus berada di barisan hadapan dalam penjagaan pesakit dan inovasi perubatan," katanya.

Majlis Partnerships for Impact: Advancing Health are through Education & Research itu dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada 20 Feb lepas. Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman dan Canselor KPJU Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Perkongsian itu juga memberi tumpuan kepada teknologi kesihatan berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengesanan awal penyakit, perubatan regeneratif dan precision medicine

"Antara kerjasama utama, TrustR memanfaatkan AI untuk meningkatkan pengukuran biomarker bagi pengesanan awal penyakit manakala Arcadia Life Sciences menerajui kaedah saringan tanpa invasif untuk kanser kolon peringkat awal.

"Dalam perubatan regeneratif, KPJU bekerjasama dengan Supergenics Life Sciences untuk menjalankan ujian klinikal terapi sel stem bagi pemulihan pesakit strok," menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPJU juga bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi memajukan bidang precision medicine, pencegahan penyakit dan strategi rawatan lebih optimum.

Universiti itu turut memperkenalkan Leadership Programme dengan kerjasama University of Melbourne dan Singapore Management University untuk melengkapkan eksekutif penjagaan kesihatan dengan kepakaran strategik.

Pada majlis itu, KPJU melancarkan logo baharu yang melambangkan komitmen universiti berkenaan terhadap kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan