DUNIA

MESIR JANJI PEMBINAAN SEMULA GAZA "DALAM TEMPOH SESINGKAT MUNGKIN"

24/02/2025 11:19 PM

KAHERAH, 24 Feb (Bernama-Anadolu) -- Mesir pada Isnin menyatakan bahawa negara itu mampu membina semula Semenanjung Gaza yang musnah akibat perang dalam tempoh sesingkat mungkin selepas serangan ganas Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Malangnya, kita telah menyaksikan lebih setahun pencerobohan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, yang mengakibatkan kemusnahan besar di tanah Palestin,” kata Menteri Pengairan Hani Sewilam dalam satu acara anjuran Kesatuan Jurutera Mesir.

Beliau menegaskan bahawa Mesir "secara jelas telah menzahirkan - melalui Presiden Abdel Fattah al-Sisi, kerajaan Mesir, rakyat Mesir dan angkatan bersenjata kami - penolakan sepenuhnya terhadap pemindahan rakyat Palestin dari tanah mereka."

Menurutnya, Mesir “telah mengesahkan bahawa satu-satunya penyelesaian untuk mencapai keamanan dan keselamatan bagi semua penduduk di rantau itu adalah dengan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka di seluruh wilayah negara Palestin, termasuk Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.”

Menteri itu berkata Mesir telah mengemukakan cadangan untuk membina semula Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin.

“Mesir mempunyai puluhan ribu jurutera yang berkemahiran serta memiliki syarikat utama dalam sektor pembinaan dan kontrak, yang menjadi tunjang dalam melaksanakan pelan pembinaan semula dengan kecekapan tertinggi dan dalam tempoh sesingkat mungkin,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai cadangan itu atau tarikh pengumumannya.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berulang kali mencadangkan untuk mengambil alih Gaza dan menempatkan semula penduduknya bagi membangunkannya menjadi apa yang dipanggilnya sebagai “Riviera Timur Tengah.” Idea itu telah ditolak sekeras-kerasnya oleh dunia Arab dan banyak negara lain yang menyifatkannya sebagai pembersihan etnik.

Cadangan kontroversi itu muncul di tengah-tengah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza yang berkuat kuasa bulan lepas, sekali gus menghentikan perang Israel yang telah mengorbankan lebih 48,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan wilayah itu musnah.

Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangannya di wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan