Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mengambil langkah proaktif bagi mengukuhkan keyakinan pelabur, termasuk meneliti semula Akta Penyelarasan Perindustrian (ICA) 1975.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar Pelaburan dan Fasiliti Perdagangan MITI Dr Ummi Nasrah Othman berkata semakan semula itu antara lainnya bertujuan melonjakkan keyakinan pelabur menerusi aspek ketelusan.
“Di bawah semakan semula itu, borang permohonan Lesen Pengilang akan disesuaikan dengan saiz syarikat dan jenis industri. Syarikat kecil dalam industri tidak sensitif akan melengkapkan borang lebih pendek dengan keperluan maklumat yang berkurangan.
“Menerusi cara ini, kita mahu memudahkan pelabur dalam mengemukakan permohonan mereka," katanya kepada Bernama di luar Persidangan Tadbir Urus Baik (GGC) 2025, semalam.
Acara anjuran bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (lIM) itu bertemakan "Memajukan Imej Negara Melalui Reformasi Tadbir Urus: Polisi-Prestasi-Rakyat.”
Mengulas selanjutnya, Ummi Nasrah berkata MITI akan turut mengukuhkan kerjasama dengan agensi berkaitan, termasuk meninjau bidang kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, beliau berkata beberapa aspek yang dikaji semula adalah perubahan kriteria pelesenan mengikut definisi perusahaan kecil sederhana (PKS) sepertimana diluluskan oleh Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan agar seiring dasar di peringkat nasional, akses lebih adil kepada faedah serta peraturan yang cekap.
Pada April 2024, Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan sedang menimbang cadangan untuk semakan semula ICA 1975 itu yang tidak pernah dikaji semula sejak 1976.
Akta yang diperkenalkan bagi mengekalkan perkembangan dan pertumbuhan teratur dalam sektor perkilangan negara, dijangka digantikan dengan Rang Undang-undang Pembangunan Perindustrian 2025 yang bertujuan memudahkaan proses perniagaan bagi pengilang serta meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau.
Sejak setahun lepas, MITI telah melaksanakan sesi libat urus dengan pemegang kepentingan, terutama pemain industri untuk mendapatkan pandangan serta maklum balas mengenai cadangan pindaan Akta ICA 1975.
Satu sesi dialog awam yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri MITI Liew Chin Tong baru-baru ini, bertujuan mendapatkan maklum balas sebelum keputusan dasar itu dimuktamadkan.
Cadangan pindaan itu turut dipaparkan di portal Perundingan Awam Bersepadu (UPC) dan orang ramai dipelawa bagi mengemukakan maklum balas sehingga 13 April, 2025.
Usaha penting lain MITI bagi memudahkan perjalanan pelabur adalah menerusi penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) tahun lepas dengan beberapa agensi berkaitan diletakkan di bawah satu bumbung untuk mempercepat pelbagai proses kelulusan, menyediakan khidmat nasihat dan penasihat selain mengurangkan birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Ummi Nasrah turut menekankan kepentingan aspek tadbir urus baik dalam mewujudkan kestabilan iklim pelaburan, memupuk kepercayaan dan memastikan perlindungan undang-undang untuk pelabur.
“Rangka kerja tadbir urus yang kukuh akan meningkatkan penilaian risiko dan menggalakkan pelaburan jangka panjang, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai persekitaran menarik untuk pelabur asing," katanya.
-- BERNAMA