AM

INTERGRASI FIQAH DAN TASAWUF PENTING, ELAK KEPINCANGAN MASYARAKAT, PENYAKIT SOSIAL - SULTAN NAZRIN

25/02/2025 11:24 AM

IPOH, 25 Feb (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah cabang ilmu fiqah dan tasawuf penting diintergrasikan bagi melahirkan ilmuan yang seimbang dari segi ilmu agama dan adab dalam kehidupan.

Sultan Nazrin bertitah kedua-dua cabang ilmu berkenaan perlu berjalan seiring bagi melahirkan golongan ilmuan yang sempurna dari segi ilmu agama dan akhlaknya.

“Dalam memperkatakan pentingnya integrasi fiqah dengan tasawuf, sebaiknya kita menziarahi kata-kata yang diungkapkan oleh Imam Malik bin Anas iaitu:

“Jika sesiapa mempelajari ilmu fiqh tanpa tasawuf maka dia menjadi fasik. Jika sesiapa mempelajari ilmu tasawuf tanpa ilmu fiqah maka dia menjadi zindik manakala jika sesiapa menghimpunkan kedua-dua ilmu tersebut maka itulah sebaik-baik dan sesempurna perkara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan ‘Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqah Dengan Tasawuf’ di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh. 

Sultan Nazrin bertitah fiqah atau fiqh ialah ilmu berkaitan hukum dalam agama Islam yang boleh dirumuskan sebagai perundangan Islam, bermaksud ilmu yang menerangkan segala hukum syarak berlandaskan al-Quran dan As-Sunah, manakala tasawuf pula ilmu mendidik manusia kaedah untuk mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memahami dan mengamalkan segala suruhan serta meninggalkan segala larangan-Nya.

“Fiqah telah menyediakan pelbagai komponen perundangan, merangkumi ibadah, muamalah, kekeluargaan, jenayah dan pelbagai perkara lagi malah turut merangkumi pemeliharaan ibadah, akhlak serta peraturan sosial dan politik. 

“Pelbagai kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang melanda dunia pada hari ini hendaklah dilihat sebagai bukti bahawa sekadar memiliki undang-undang dan perundangan tidak membawa sebarang makna. 

“Lihatlah apa yang sedang berlaku di persekitaran kita, kepincangan masyarakat dan penyakit sosial, penipuan, perlakuan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penindasan, penyeksaan, persengketaan, pertelingkahan, perebutan kuasa, peperangan dan pembunuhan semakin berlaku bukan kerana kita tidak mempunyai cukup undang-undang tetapi segala-galanya berlaku kerana manusia sudah kehilangan adab,” titah baginda.

Baginda bertitah ilmu tasawuf terbukti mampu membimbing manusia untuk sentiasa membersihkan jiwa (tazkiyatun nafs) dan mendekatkan diri kepada Allah.

Titah Sultan Nazrin sejak terpinggirnya didikan ilmu tasawuf di bangku sekolah manusia kini seakan-akan jasad yang hilang rohnya, bagaikan pohon yang hilang sumber airnya. 

“Ummah kini sudah tidak lagi mementingkan rohani sebaliknya dibelenggu dengan habuan kebendaan dan keduniaan. 

“Pada waktu sama, turut terdapat gerakan membenci tasawuf hingga melahirkan generasi yang tidak beradab malah ke peringkat bersifat biadab, menderhakai ibu bapa dan guru, generasi yang tidak malu menghina umara dan ulama, juga menyanggah dan mencabar ulul amri dengan mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Mukmin,” titah baginda.

Baginda turut menekankan pentingnya adab dalam mengikut kaca mata Islam dan budaya Melayu serta turut ditegaskan oleh ulama. 

“Para ulama lebih mendahulukan adab daripada ilmu. Seseorang yang menguasai ilmu tanpa memiliki adab, akan berakhir sebagai ilmuwan yang tempang, dibimbangi akan mendakyah masyarakat dengan ilmu yang songsang,” titah Sultan Nazrin.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan