AM

ASEAN 2025: PUSAT MEDIA ANTARABANGSA KINI DIBUKA SEMPENA PERMUKIMAN AEM KE-31 DI DESARU 

25/02/2025 02:51 PM

KOTA TINGGI, 25 Feb (Bernama) -- Pusat Media Antarabangsa bagi mesyuarat Sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) 2025 ke-31 di Desaru, mula beroperasi secara rasminya hari ini.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menggalas tanggungjawab sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa sepanjang sidang Kemuncak ASEAN 2025, menyediakan keperluan media termasuk bahan berita dan foto kepada petugas media tempatan, mahupun antarabangsa.

Penyelaras Pusat Media Antarabangsa Zaria Mohd Nasri berkata setakat ini, 98 media tempatan termasuk media rasmi dan antarabangsa telah berdaftar untuk membuat liputan Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di sini.

“Sebagai media rasmi, Bernama akan memberi liputan menyeluruh di semua platform kami meliputi Bernama Wires, Bernama Foto, Bernama TV (Astro 502), Bernama Radio dan Bernama Digital,” katanya kepada Bernama hari ini.

Lebih 200 perwakilan dari 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste dijangka hadir permukiman ini.

Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dijadualkan berhimpun untuk permukiman pada 28 Feb ini, dengan dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Barisan menteri tersebut dijangka akan membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) bertujuan memacu integrasi ekonomi serantau, keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital.

Sebelum mesyuarat tersebut dimulakan, mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) ke-12 telah pun diadakan pada 22-23 Feb, diikuiti persidangan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) ke-47 selama dua hari bermula 24 Feb.

Pada 26 dan 27 Feb, Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) untuk Permukiman AEM ke-31 akan dilangsungkan.

Permukiman AEM itu bersempena peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang memaparkan aspirasi Malaysia ke aras mewujudkan komuniti ASEAN yang lebih terangkum dan mampan.

Zaria berkata antara kemudahan yang disediakan di Pusat Media Antarabangsa ialah ruangan kerja, kemudahan Internet berkelajuan tinggi, ruangan kopi dan teh, kaunter informasi dan pengurusan temu bual. 

Beliau berkata selain acara itu, Bernama akan membuat persiapan untuk pusat media antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang dijangka akan berlangsung pada Mei ini di ibu negara.

Untuk rekod, Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos, dengan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang diasaskan pada 8 Ogos 1967 kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, manakala kemasukan Timor-Leste untuk menjadi negara anggota masih lagi dalam proses.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan