WASHINGTON, 25 Feb (Bernama-Anadolu) -- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Isnin menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan di Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.
“Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah amat bimbang dengan impak operasi keselamatan yang berterusan terhadap penduduk awam di Jenin, Tulkarem, Tubas dan kawasan lain di utara Tebing Barat,” menurut ICRC dalam satu kenyataan.
Ribuan penduduk awam telah dipindahkan akibat operasi ketenteraan yang sedang berlangsung,
Sementara itu, orang ramai berdepan kesukaran untuk mendapatkan keperluan asas seperti air bersih, makanan, rawatan perubatan dan tempat perlindungan, menurut ICRC.
Tentera Israel melakukan operasi ketenteraan di utara Tebing Barat sejak bulan lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan ribuan lagi dipindahkan.
Serbuan itu adalah yang terbaru dalam peningkatan operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat, dengan sekurang-kurangnya 923 rakyat Palestin terbunuh manakala hampir 7,000 cedera sejak 7 Okt 2023, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Julai lalu mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin adalah tidak sah, dan menuntut semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dikosongkan.
-- BERNAMA-ANADOLU