Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini disokong oleh kebimbangan mengenai bekalan yang terhad berikutan musim daun getah gugur di negara pengeluar getah asli selain kenaikan harga minyak mentah, kata peniaga.
Beliau berkata musim menoreh dilaporkan telah berakhir di Vietnam dan timur laut Thailand manakala pengeluaran getah asli di selatan Thailand telah menurun dengan ketara, seterusnya mengurangkan bekalan di peringkat global dalam keadaan permintaan yang stabil.
Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh petunjuk bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan serantau, didorong oleh kebimbangan mengenai tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan perdagangan global, katanya kepada Bernama.
“Niaga hadapan getah Jepun rendah pada Selasa didorong oleh kebimbangan mengenai pelan tarif Presiden AS Donald Trump, walaupun penurunan dihadkan oleh prospek bekalan yang terhad daripada pengeluar utama Thailand,” katanya.
Pada masa ini, minyak mentah Brent naik 0.27 peratus kepada US$74.98 setong.
Sehingga 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 12 sen kepada 930.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik enam sen kepada 703.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA