AM

KKR PERLUAS PENGGUNAAN TEKNOLOGI BIM DALAM PEMBINAAN JALAN RAYA

25/02/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) akan diperluas dalam pembinaan lebuh raya dan jalan raya, sebagai satu usaha memendekkan tempoh pengurusan sesuatu projek siap, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Justeru, beliau berkata Kementerian Kerja Raya perlu mengadakan perbincangan bersama Kementerian Ekonomi berhubung 25 projek yang dilakukan pengurusan nilai untuk dipercepatkan dengan teknologi moden seperti BIM.

“Tarikh pengurusan nilai bagi jalan di Jerantut adalah pada September 2025, jadi selagi ia tak selesai maka selagi itu kita tak boleh bergerak kehadapan untuk reka bentuk kos dan sebagainya.

“Kalau kosnya katalah RM120 juta, setelah pengurusan nilai kosnya jadi RM110 juta misalnya jadi hendak menunggu tempoh itu terlalu panjang.

“Oleh itu, saya mengharapkan agar Kementerian Ekonomi melihat juga tempoh pengurusan nilai yang panjang supaya boleh dipendekkan dengan kaedah-kaedah tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan penyerahan enam Surat Setuju Terima (SST) bagi pembinaan projek infrastruktur jalan raya dan jambatan, di sini hari ini.

Ahmad berkata kesemua enam projek itu turut menggunakan teknologi BIM dalam kitar hayat pelaksanaan projek dan model digital yang menjadi sebahagian Dasar Pembinaan Kebangsaan 2030 yang dijangka meningkatkan produktiviti dan pengurusan aset serta mengurangkan kesilapan dan kos keseluruhan.

Antara projek yang dijadualkan siap pada 2028 itu ialah menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah Seremban dan membina jejambat merentasi Lebuhraya Utara Selatan di Negeri Sembilan dengan kos RM194 juta serta projek pembinaan Seksyen 1B Lingkaran Tengah Utama di Kelantan bernilai RM425 juta.

Selain itu, ia melibatkan projek pembinaan Jalan Baru di Bandar 34, Bera, Pahang (Fasa 2) bernilai RM68.9 juta dan projek membina Jambatan Kampung Binjai, Kuala Lipis, Pahang bernilai RM63.4 juta.

Dua lagi projek ialah menaik taraf atau membaik pulih jalan dan infrastruktur luar bandar di Kampung Bukit Damar, Sepang, Selangor bernilai RM35.6 juta dan menaik taraf Jalan Kampung Bukit ke Kampung Lubuk Batu, Pokok Sena di Kedah dengan kos projek bernilai RM33.4 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan