DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP KEBANYAKANNYA TINGGI

25/02/2025 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup kebanyakannya lebih tinggi hari ini selepas disokong oleh kebimbangan terhadap bekalan yang terhad, kata seorang penganalisis.

Penganalisis itu memberitahu rizab minyak sawit Malaysia kekal rendah, manakala pihak industri terpaksa bergelut dengan bekalan minyak yang agak terhad.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyebut bahawa hujan lebat pada awal tahun ini telah menyebabkan banjir pada ladang-ladang sawit, ini tidak memungkinkan pemulihan pengeluaran untuk sekurang -kurangnya satu bulan lagi,” katanya.

Sementara itu, juruukur kargo Intertek Testing Services (ITS) melaporkan eksport produk minyak sawit Malaysia untuk 1-25 Februari turun 2.7 peratus kepada 909,165 tan berbanding 934,598 tan yang dihantar dalam tempoh yang sama pada Januari 2025.

Manakala, syarikat pemeriksaan bebas Amspec Agri Malaysia berkata eksport produk minyak kelapa sawit bagi 1-25 Februari naik 1.2 peratus kepada 879,652 tan daripada 868,960 tan yang dihantar dalam tempoh yang sama bulan sebelum ini.

Pada penutup, kontrak Mac 2025 jatuh RM8 kepada RM4,723 satu tan dan April 2025 berkurangan sebanyak RM4 kepada RM4,655 satu tan. 

Mei 2025 menokok RM6 kepada RM4,565 satu tan, Jun 2025 menambah RM21 kepada RM4,467 satu tan, Julai 2025 meningkat RM35 hingga RM4,375 satu tan dan Ogos 2025 memperoleh RM44 kepada RM4,313 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 69,259 lot daripada 46,796 lot yang disaksikan semalam, sementara kepentingan terbuka menguncup kepada 244,430 kontrak berbanding 244,880 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan adalah RM50 lebih tinggi pada RM4,850 satu tan. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan