AM

BELON PANAS TARIKAN BAHARU PELANCONGAN MELAKA BERMULA 1 APRIL

25/02/2025 11:01 PM

MELAKA, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri hari ini melancarkan tarikan ikonik baharu sektor pelancongan Melaka iaitu 'Skyview Hot Air Balloon' yang akan beroperasi sepenuhnya di Dataran Sejarah, Ayer Keroh di sini, bermula 1 April depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pada peringkat awal, dua belon panas akan beroperasi, dan jumlahnya akan ditambah kepada enam unit bergantung kepada sambutan yang diterima. Harga tiket bermula serendah RM99 untuk pelancong tempatan dan RM120 untuk pelancong antarabangsa.

Beliau berkata bagaimanapun anak Melaka berpeluang menaiki belon panas tersebut pada harga serendah RM70 seorang pada Selasa hingga Khamis.

"Pengunjung bukan sahaja berpeluang merasai pengalaman menaiki belon panas berkenaan tetapi juga melihat keindahan panorama Melaka dari ketinggian 200 kaki (60.9 meter).

“Pelancaran tarikan baharu ini adalah selaras dengan komitmen Melaka untuk terus mengukuhkan sektor pelancongan negeri di mata dunia, terutamanya dalam sambutan Hari Pelancongan Sedunia pada September 2025 dan Tahun Melawat Melaka sehingga 2026," katanya kepada pemberita di Dataran Sejarah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Prapelancaran Skyview Hot Air Balloon yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Datin Sapiah Haron.

Skyview Hot Air Balloon akan beroperasi setiap Selasa hingga Khamis bermula 5 petang hingga 11 malam manakala pada Jumaat hingga Ahad, ia akan beroperasi dari 4 petang hingga 12 tengah malam.

Sementara itu, Sapiah berkata belon panas berkenaan akan beroperasi selama setahun enam bulan di dataran berkenaan dan setiap satu unit belon panas boleh memuatkan sehingga enam orang pada satu-satu masa.

Penerbangan belon panas tersebut bergantung kepada keadaan cuaca demi keselamatan pengunjung.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan