DUNIA

FARM FRESH TEROKA PELUANG PERLUAS PENTERNAKAN TENUSU DI KEMBOJA

25/02/2025 11:00 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 25 Feb (Bernama) -- Farm Fresh Bhd, syarikat berpangkalan di Malaysia, sedang meneroka prospek untuk memperluaskan pengeluaran tenusu di Kemboja.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, yang sedang dalam lawatan dua hari ke negara itu, berkata ia merupakan pelaburan sektor swasta yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"Saya berbincang dengan menteri (Pertanian, Perhutanan dan Perikanan, Dith Tina) mengenai syarikat Malaysia, Farm Fresh, untuk membuka ladang ternakan tenusu di Kemboja.

"Kami sedang membincangkan isu berkaitan tanah dan teknikal. Setakat ini, tidak banyak halangan.

"Pelaburan ini akan meningkatkan keterjaminan makanan dan tahap sara diri bekalan susu segar di Kemboja yang kini bergantung kepada import," kata Mohamad.

Beliau turut berbincang dengan rakan sejawatnya mengenai pelbagai isu lain berkaitan import beras dari Kemboja (beras wangi), akuakultur, perikanan dan usaha memperkukuh kerjasama dalam mengekalkan keterjaminan makanan.

"Kita perlu bekerjasama dengan Kemboja dalam aspek keterjaminan makanan kerana perubahan iklim. Kita perlu berganding bahu dengan negara pengeluar beras seperti Kemboja yang menghasilkan beras lima kali ganda lebih banyak berbanding Malaysia," katanya.

Malaysia memperoleh kira-kira 50,000 tan metrik beras dari Kemboja melalui perjanjian kerajaan dengan kerajaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan