Oleh Noornasrin Salsabila Othman
TANAH MERAH, 26 Feb (Bernama) -- Seorang suri rumah membuktikan usaha bercucuk tanam mampu memberikan pulangan lumayan apabila berhasil menjana pendapatan menerusi penanaman lebih 70 jenis sayur-sayuran sejak lima tahun lepas.
Noor Shahiran Yusoff, 33, berkata dia mula mencuba nasib menjinakkan diri dalam bidang tanaman ini bagi memenuhi masa lapang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata pada awalnya dia hanya menanam sekitar 30 benih sayur-sayuran di sekitar halaman rumah seperti lada, lengkuas, kunyit dan daun kesum untuk kegunaan sendiri dengan bermodalkan RM50, termasuk untuk membeli baja, tanah serta kelengkapan bercucuk tanam.
"Saya tidak sangka usaha ini membuahkan hasil apabila benih yang disemai menunjukkan perkembangan baik sehingga membiak menjadi anak pokok dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengusahakan tanaman ini lebih serius," katanya ketika ditemui Bernama dekat rumahnya di Kampung Madu Jaya, Kelewek Hilir Kubur di sini baru-baru ini.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, tanaman diusahakan mula mendapat perhatian jiran tetangga serta sanak saudara yang berkunjung ke rumahnya yang berminat untuk memperoleh anak pokok berkenaan.
"Ada yang cuba semai benih anak pokok tapi tidak berhasil walaupun telah mencuba beberapa kali. Jadi, kebanyakan mereka dapatkan anak pokok yang saya tanam untuk ditanam di rumah mereka.
"Saya mula serius menumpukan perhatian terhadap tanaman asas dapur serta ulam-ulaman yang diusahakan ini sejak dua tahun lepas dengan turut mempromosikan di Facebook 'Scha Atisya' serta aplikasi WhatsApp dan kini saya mempunyai lebih 1,500 pelbagai jenis anak pokok," katanya.
Noor Shahiran berkata antara tanaman serta ulam-ulaman yang ada ialah tomato ceri, lada burung, terung, lada solok, kunyit, halia, lengkuas, kubis, petola, cekur hijau, ulam raja dan bayam Brazil, yang dijual pada harga RM5 hingga mencecah RM30 untuk satu anak pokok.
"Untuk menghasilkan anak pokok ini, saya semai benih tanaman yang diperlukan dengan mendapatkan bekalannya di kedai pertanian. Selain itu, bagi mengurangkan risiko serangan penyakit atau serangga pula saya hanya menggunakan benih yang telah dirawat.
"Penggunaan tanah yang bersesuaian seperti medium peatmoss (lumut gambut) ketika proses menyemai sangat penting untuk memastikan tumbesaran berhasil memandangkan bahan ini bersifat menyerap air seperti span malah mampu 'mengikat' pada tanah pasir," katanya.
Noor Shahiran berkata kebiasaannya benih tanaman akan bercambah dalam tempoh dua minggu sebelum ia dipindahkan ke dalam polibeg atau pasu kecil yang diletakkan sabut kelapa untuk merangsang pertumbuhan anak pokok.
"Tempoh paling singkat sekiranya mendapat bekalan air serta baja yang mencukupi untuk menuai hasil sekitar 28 hari dan boleh mencecah sehingga hampir sebulan setengah. Setakat ini pokok yang rumit sedikit untuk diusahakan anak pokok lada solok serta lada kulai kerana mudah diserang penyakit," katanya.
Dia yang mengusahakan jualan secara dalam talian serta 'walk in' sendiri ke rumahnya itu turut mendapat permintaan daripada pelanggan dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.
"Bagi khidmat pengeposan, saya akan bungkus dengan teliti kerana khuatir akan rosak. Setakat ini, maklum balas pelanggan barang yang dihantar dalam keadaan baik," katanya yang mampu meraih hingga RM8,000 sebulan.
-- BERNAMA